ajohari@bh.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam permohonan semakan kehakimannya bagi mendapatkan perintah supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan kini menjalani hukuman di Penjara Kajang bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Melalui notis daripada firma guaman Tetuan Shafee & Co bertarikh 2 April lalu, firma guaman berkenaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa Najib selaku perayu berhasrat untuk menarik balik rayuan terhadap responden tanpa kebenaran untuk memfailkan semula dan tanpa sebarang perintah berhubung kos.
Tiada alasan dinyatakan berhubung tindakan pemberhentian berkenaan, dan pada14 April lalu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, merekodkan bahawa Notis Penghentian yang difailkan peguam adalah teratur, dan seterusnya membatalkan notis rayuan Najjb.
Pada 22 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, menolak permohonan semakan kehakiman Najib yang juga bekas Presiden UMNO, bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut dan dibincangkan serta diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Titah Adendum dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman terbabit si bawah tahanan rumah.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib dengan itu memohon satu perintah mandamus supaya kerajaan melaksanakan titah itu dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya untuk meneruskan hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




