Krisis Adat Negeri Sembilan: 14 ADUN BN umum tarik sokongan terhadap Aminuddin-Jalaluddin

Krisis Adat Negeri Sembilan: 14 ADUN BN umum tarik sokongan terhadap Aminuddin-Jalaluddin

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)/Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengumumkan penarikan sokongan terhadap kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, susulan krisis adat yang sedang memuncak.

Umum tarik sokongan

Screenshot

Memetik laporan Harian Metro, Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias memaklumkan, kepimpinan parti mengambil perhatian serius terhadap kemelut yang melibatkan Institusi Adat serta Perlembagaan negeri itu.

“Saya bersama 14 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili UMNO/BN Negeri Sembilan sangat berdukacita dan kecewa dengan krisis yang berlaku.
“Ini kerana, krisis yang berlaku ini dilihat bakal menjejaskan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan dan secara tidak langsung memberi kesan mendalam kepada kestabilan Kerajaan serta keharmonian rakyat.
“Justeru, kesemua 14 ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan dengan ini sebulat suara hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan dan menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan (Datuk Seri Aminuddin Harun),” katanya di Wisma UMNO, hari ini.

Kesemua ADUN UMNO/BN hadir pada sidang media tersebut kecuali ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan ADUN Pertang, EXCO daripada UMNO/BN tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang perbincangan di peringkat kerajaan negeri berkaitan isu itu, malah hanya mengetahui perkembangan krisis apabila ia sudah mencapai tahap kritikal dan menjadi perbahasan umum.

“Menteri Besar sewajarnya memainkan peranan dan menggunakan kebijaksanaan beliau sebagai Menteri Besar dalam krisis ini.
“Krisis yang berlaku ini dilihat bakal menjejaskan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan dan secara tidak langsung memberi kesan mendalam kepada kestabilan Kerajaan serta keharmonian rakyat,” katanya.

Beliau yang juga EXCO kanan menegaskan pihaknya kekal menyokong serta mempertahankan Institusi Adat, Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, selain menekankan keperluan sebuah kerajaan yang stabil bagi memastikan pentadbiran berjalan lancar serta memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Tambahnya, pemakluman rasmi berhubung perkara itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman serta Setiausaha Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Artikel lain: PAS sedia hidupkan semula Muafakat Nasional, letak syarat UMNO-BN keluar gabungan bersama PH

Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi keseluruhannya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos 2023, UMNO/BN membentuk kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan (PH) selepas memperoleh 31 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi.

Sumber: Harian Metro (Mohd Amin Jalil)

Scroll to Top