Harfizi akui misi THT pertahan juara liga semakin berliku

Harfizi akui misi THT pertahan juara liga semakin berliku

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pengendali Pasukan Hoki Terengganu (THT), Mohd Harfizi Baharom mengakui misi skuadnya untuk mempertahankan gelaran juara Liga Hoki Malaysia (MHL) pada musim ini semakin berliku.

Beliau berkata, hanya lima mata diraih daripada empat perlawanan begitu memeritkan dalam usaha menggapai impian berkenaan.

“Sejujurnya saya boleh katakan agak sukar untuk kami mempertahankan gelaran juara liga jika kedudukan terkini diambil kira dengan hanya mengumpul lima mata daripada empat perlawanan.

“Hanya keajaiban sahaja selain mengharapkan kepada pasukan lain tewas jika mahu merealisasikan impian berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas skuadnya diikat 1-1 oleh pemain remaja, TNB Thunderbolts di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), petang semalam.

Namun, beliau yang membantu skuad itu meraih tiga kejuaraan selain melakar rekod tanpa tewas pada musim lalu tidak menafikan peluang buat skuadnya masih lagi terbuka untuk memburu impian berkenaan.

“Peluang masih ada, lagipun liga masih panjang, harap pemain dapat menyajikan persembahan terbaik selepas ini dengan nekad mengelak sebarang kekalahan atau seri supaya tidak keciciran mata lagi.

“Pada masa sama saya akan memperkemaskan lagi corak permainan terutama berkenaan pukulan sudut penalti selain ketika menyerang dan bertahan,” ujarnya.

Pada aksi pertama yang juga perebutan Piala Sumbangsih, THT tewas 4-5 kepada seteru utamanya TNB ThunderStars, sebelum seri 1-1 dengan Maybank dan menang 7-1 ke atas Armed Forces HT.

Maybank kini di tangga teratas liga dengan 10 mata menerusi empat perlawanan diikuti TNB ThunderStars dengan sembilan mata selepas tiga perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top