sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Gimnas kebangsaan, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam akui anugerah Olahragawan Terengganu yang diraihnya bakal menyuntik lagi motivasinya untuk terus memburu kejayaan yang lebih bermakna buat negara.
Tambah atlet berusia 25 tahun itu, kejayaan mendapat anugerah itu juga membuktikan sukan berkenaan turut popular dalam kalangan peminat sukan tempatan.
“Alhamdulillah terima kasih kepada semua pihak terlibat yang banyak membantu dalam perjalanan karier saya sehingga mampu berada pada tahap sekarang.
“Anugerah ini begitu bermakna dalam hidup selain ia bakal menjadi pembakar semangat kepada diri dan rakan-rakan untuk terus melakar kecemerlangan dalam kejohanan yang disertai,” ujar Muhammad Sharul Aimy.
Terdahulu Muhammad Sharul Aimy bersama pelumba basikal negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Terengganu dalam Anugerah Sukan Terengganu 2024/2025 yang berlangsung di sebuah hotel, dekat sini, malam tadi.
Sementara itu Nur Aisyah berkata, usaha kerasnya ternyata berbaloi apabila dia terpilih untuk merangkul anugerah berkenaan biarpun akui saingan sengit dengan atlet lain.
Pelumba basikal lebuh raya wanita pertama Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 itu turut akui anugerah berkenaan mampu mencabar dirinya untuk berusaha lebih gigih dalam misi memburu kejayaan yang lebih bermakna.
“Sudah pasti anugerah ini mampu memberikan suntikan motivasi kepada saya untuk terus berusaha mengharumkan nama negeri dan negara dalam kejohanan yang bakal saya sertai,” ujarnya selepas masing-masing membawa pulang RM7,000, piala pusingan, piala iringan, sepasang blazer dan sijil kepujian.
Pemilihan Sharul Aimy dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang meraih pingat emas dan gangsa Sukan Sea 2025 Thailand, gangsa Kejohanan Asia 2024 serta penyertaan di Kejohanan Dunia 2025.
Nur Aisyah pula meraih satu emas dan dua perak pada Sukan Sea 2025 Thailand, gangsa Kejohanan Trek Asia 2025 serta dua perak kejohanan jalan raya Asia 2025.
Hadiah disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




