Bermain tanpa tekanan rahsia kejayaan Zi Yu, Noraqilah tundukkan beregu ke-7 dunia

Bermain tanpa tekanan rahsia kejayaan Zi Yu, Noraqilah tundukkan beregu ke-7 dunia

GANDINGAN muda negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan, langsung tidak berdepan tekanan ketika turun menentang pasangan nombor tujuh dunia Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam aksi perlawanan terakhir Kumpulan B Piala Uber 2026 antara Malaysia dan Jepun.

Gandingan ranking ke-143 dunia itu mencipta kejutan besar apabila menewaskan Iwanaga-Nakanishi 21-17, 12-21, 21-19 sekali gus menyumbang satu-satunya mata buat Malaysia dalam kekalahan 1-4 kepada juara enam kali itu di Forum Horsens, Denmark.

Noraqilah Maisarah berkata mereka tidak terlalu memikirkan tekanan sebelum perlawanan sebaliknya hanya fokus memberikan yang terbaik.

“Ini pengalaman yang baik untuk menentang pasangan 10 terbaik dunia. Sebelum masuk gelanggang, saya hanya beritahu rakan gandingan supaya tidak stres dan bermain sahaja mengikut kemampuan kami,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.

Pemain berusia 18 tahun itu turut mengakui banyak pelajaran yang diperoleh daripada lawan, khususnya dalam menghasilkan pukulan berkualiti di gelanggang.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih banyak perlu diperbaiki apabila beberapa kesilapan mudah dilakukan sepanjang permainan.

Dalam perkembangan lain, perseorangan utama negara K. Letshanaa menyifatkan kekalahan 19-21, 17-21 kepada pemain nombor tiga dunia dan juara dunia tiga kali Akane Yamaguchi dalam aksi pembukaan sebagai pencapaian penting dalam perkembangan karier antarabangsanya.

“Bagi saya, ia satu persembahan yang baik kerana saya dapat beri saingan kepada Akane. Harapnya ini akan beri saya lebih motivasi untuk perlawanan akan datang,” katanya.

Gandingan nombor enam dunia Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto pula mengukuhkan dominasi Jepun apabila mudah menewaskan ketua pasukan Malaysia, M Thinaah yang bergandingan dengan Ong Xin Yee 21-9, 21-9.

Momentum Jepun terus berlanjutan apabila perseorangan nombor sembilan dunia Tomoka Miyazaki menundukkan pemain ranking ke-38 dunia Wong Ling Ching 21-16, 21-13.

Sementara itu, pemain profesional Goh Jin Wei terpaksa menarik diri ketika ketinggalan pada set kedua aksi terakhir kedudukan 3-4 menentang Riko Gunji, meskipun memenangi set pertama 21-19.

Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia mara ke suku akhir sebagai naib juara Kumpulan B, manakala Jepun muncul juara kumpulan.-Bernama

Scroll to Top