'Untuk 'menurunkan' atau memecat Aminuddin, ia perlu dibuat mengikut Perlembagaan' – Pakar

'Untuk 'menurunkan' atau memecat Aminuddin, ia perlu dibuat mengikut Perlembagaan' – Pakar

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan negeri di Negeri Sembilan masih boleh terus berfungsi walaupun mempunyai bilangan minoriti selagi Datuk Seri Aminuddin Harun tidak dipecat sebagai Menteri Besar.

Pakar Perlembagaan dan Undang-Undang, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, untuk ‘menurunkan’ atau memecat Aminuddin, ia perlu dibuat mengikut Perlembagaan sama ada melalui undi tidak percaya di dalam atau luar Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, undi tidak percaya di luar DUN boleh dibuat melalui sokongan akuan bersumpah (SD) atau Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menemu bual Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Aminuddin.

“Sekiranya mahu Menteri Besar itu ‘turun,’ perlulah ada satu petisyen atau tandatangan daripada majoriti ADUN yang mengatakan mereka telah hilang kepercayaan dan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar.

“Yang di-Pertuan Besar perlu melihat dan membuat keputusan sewaktu itu bagi menentukan sama ada Menteri Besar tidak mempunyai sokongan lagi.

“Kemudian, Yang di-Pertuan Besar akan meminta Menteri Besar untuk meletakkan jawatan,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Semalam, Aminuddin berkata, beliau akan meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri walaupun 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan kepadanya.

Aminuddin berkata, beliau sudah menyembah maklum berkenaan kedudukan semasa ADUN yang menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Baginda katanya, menitahkan supaya pentadbiran semasa diteruskan seperti biasa.

Nik Ahmad Kamal berkata, walaupun mempunyai bilangan minoriti, Aminuddin juga boleh membentangkan belanjawan negeri di DUN Negeri Sembilan.

Bagaimanapun katanya, sekiranya Pengerusi PH Negeri Sembilan itu gagal dalam meluluskan belanjawan, beliau perlu meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

“Masih boleh bentang belanjawan, tetapi kalau gagal atau kalah maknanya kerajaan kalah (dalam meluluskan belanjawan). Maka, Menteri Besar kena letak jawatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top