am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Bekas Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Datuk Tan Lek Khang yang dilaporkan parah selepas dipercayai tertembak diri sendiri, petang tadi kini sedang menjalani pembedahan.
Bekas Setiausaha Bersekutu Bersatu Johor, Yeo Kwee Kwang berkata, Tan yang dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, sejurus kejadian itu tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan kira-kira jam 5.30 petang.
“Beliau dikejarkan dengan ambulans ke sini (HSI) dan sebaik tiba terus dirawat di bahagian kecemasan dan kini sudah pun dibawa ke bilik pembedahan untuk menjalani pembedahan. Pembedahan sedang dijalankan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI di sini, malam ini.
Tan, 41, sebelum ini dilaporkan dipercayai tertembak diri sendiri ketika sedang mengadakan sesi latihan menembak di sebuah pusat latihan menembak di Kota Tinggi.
Ahli keluarga termasuk isterinya, Datin Tan Nie Nie dan rakan-rakan politiknya dilihat turut berada di hospital sejak dari jam 6 petang, bagi menanti perkembangan terkini beliau.
Mengulas lanjut, Yeo berkata, ketika kejadian, Tan bersama individu yang bukan dari kalangan mereka menyebabkan maklumat lengkap mengenai kejadian itu belum diterima.
Bagaimanapun, beliau berkata, maklumat awal diterima kejadian berlaku ketika Lek Khang yang mempunyai lesen senjata api itu sedang mengosongkan peluru dalam senjata api.
“Kami pun dapat maklumat daripada kawan rapatlah, kerana ketika insiden tidak ada orang kita bersama dengan beliau. Tetapi, ada seorang rakan kami beritahu dia ada berbual dengan beliau (Tan) dalam telefon antara jam 2 hingga 3 petang itu sebelum kejadian.
“Diberitahu bahawa mungkin masa beliau sedang latihan itu, ada peluru yang tertinggal dalam senjata api dan beliau tidak perasan lalu tertembak menyebabkan cedera di bahagian sini (menunjukkan kawasan dada dan bawah ketiak),” katanya.
Pada masa sama, Yeo memohon semua pihak mendoakan pembedahan ke atas Lek Khang berjalan lancar dan dapat menyelamatkan nyawanya.
Sementara itu, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden terbabit.
Pada 13 Februari lalu, Tan mengumumkan peletakan jawatan serta keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta merta susulan sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Tan menjadi calon mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, namun tewas kepada Barisan Nasional (BN).
© New Straits Times Press (M) Bhd




