“Suami dan isteri saling memerlukan. Isteri juga kena faham situasi suami. Suami pula perlu jujur dengan isteri”.
Demikian respons pelakon Ozlynn Waty berkenaan perlu atau tidak seorang isteri menuntut nafkah berupa wang ringgit jika tidak diberi oleh suami.
Menerusi komen balas yang ditinggalkan di platform Threads, Ozlynn atau Rozlinawaty Ismail, 44, berpendapat, rezeki seorang suami akan lebih berganda sekiranya tidak bersikap kedekut terhadap isteri.
Malah, dia sendiri tidak menafikan, nafkah wajib bagi seorang suami adalah menyediakan tempat tinggal, makan minum, kesihatan dan pakaian buat pasangannya.
“Kalau suami mahu murah rezeki, jangan kedekut dengan isteri. Doa isteri juga penting untuknya,” katanya di Threads.

Dalam hantaran sama, ibu kepada enam orang cahaya mata itu berpendapat, setiap pasangan suami isteri seharusnya memainkan peranan penting dalam memahami situasi dan keadaan kewangan antara satu sama lain.
“Senang cerita, suami dan isteri saling memerlukan. Isteri juga kena faham situasi suami.
“Suami pula perlu jujur dengan isteri supaya isteri faham keadaan kewangan. Yang penting, suami itu bukan pemalas,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Ozlynn juga percaya setiap usaha yang dilakukan seorang suami untuk menggembirakan dan membahagiakan isteri adalah kunci kepada rezeki suami lebih melimpah ruah.
“Senang cakap, apabila isteri tenang dan gembira, secara tidak langsung akan nampak kebahagiaan dan rezeki itu mencurah.
“Suami pula, kalau ada rezeki lebih, jangan kedekut untuk berkongsi dengan isteri,” ujarnya.




