Kepimpinan baharu SPRM perlu berani, tegas – MCPF

Kepimpinan baharu SPRM perlu berani, tegas – MCPF

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kepimpinan baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu tampil berani, telus dan tegas bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi itu.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Dr King Lim Chin Fui, menzahirkan keyakinan bakal Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman akan memimpin institusi itu dengan integriti tinggi, pendirian tegas serta kepimpinan yang berani dan berwibawa.

Katanya, pelantikan berkenaan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar peralihan kepimpinan, tetapi tanggungjawab besar berkait rapat dengan kewibawaan negara, kedaulatan undang-undang dan keyakinan rakyat.

“Masyarakat meletakkan harapan yang tinggi terhadap SPRM. Kepimpinan baharu perlu membuktikan melalui tindakan, bukan sekadar kata-kata bahawa institusi itu benar-benar bebas,

profesional dan berkeupayaan melaksanakan tugas tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, usaha memerangi rasuah mesti dilaksanakan secara konsisten dan adil, tanpa sebarang persepsi pendakwaan terpilih.

Katanya, rasuah bukan sekadar isu perundangan tetapi turut memberi kesan langsung kepada tadbir urus, keyakinan pelabur serta pembangunan negara.

“Setiap kes perlu ditangani berdasarkan fakta dan bukti, tanpa mengira latar belakang, kedudukan atau pengaruh. Hanya dengan pendekatan ini keyakinan rakyat dapat diperkukuh secara menyeluruh.

“Negara yang gagal menangani rasuah secara berkesan akan berdepan kelemahan institusi, persaingan yang tidak adil dan kemajuan yang terbantut,” katanya.

Lim berkata, MCPF akan terus menyokong usaha pencegahan rasuah di peringkat nasional dan bersedia bekerjasama memperkukuh kesedaran awam, pendidikan integriti dan usaha pencegahan terutama dalam kalangan generasi muda.

Katanya, rakyat kini menuntut lebih daripada sekadar janji dan mahu lihat tindakan yang jelas, siasatan yang telus, serta hasil yang mencerminkan keadilan dan keberanian.

“Apabila SPRM berani menyiasat, bertindak dan menjelaskan secara terbuka, keyakinan terhadap institusi itu akan kembali kukuh,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Bekas hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 13 Mei ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top