mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia mengakui kemenangan ke atas wakil Jepun hadir tepat pada masanya, sekali gus memberi suntikan keyakinan selepas kembali daripada kecederaan.
Pertembungan terakhir menyaksikan Zii Jia tidak berdepan masalah menundukkan Koki Watanabe 21-13, 21-19 dalam tempoh 41 minit.
Bagaimanapun, kemenangan itu hanya menjadi mata kedua Malaysia apabila skuad negara akhirnya akur tewas 2-3 kepada Jepun dan menamatkan saingan Kumpulan B sebagai naib juara.
Menurut Zii Jia, kemenangan itu cukup bermakna buat dirinya apabila berjaya menewaskan pemain dalam kelompok 20 terbaik dunia buat kali pertama sejak kembali beraksi.
“Saya rasa kemenangan ini penting untuk diri sendiri, terutamanya selepas kembali daripada kecederaan.
“Ini juga kali pertama saya menewaskan pemain dalam kelompok 20 terbaik dunia,” katanya.
Mengulas situasi perlawanan, Zii Jia berkata pendekatan permainan bergantung kepada keadaan semasa termasuk jika kedudukan menjadi penentu seperti 2-2 atau ketika pasukan sedang mendahului.
“Kalau kedudukan 2-2, sudah tentu kami akan cuba sedaya upaya untuk menang. Ia bergantung kepada situasi dan taktik yang perlu dilakukan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengakui berdepan detik mencabar pada penghujung perlawanan apabila hampir melakukan beberapa kesilapan mudah akibat terlalu mahu menamatkan aksi dengan cepat.
“Apabila mata semakin hampir, mungkin saya sedikit terdesak untuk habiskan perlawanan. Itu menyebabkan saya melakukan beberapa kesilapan mudah,” katanya.
Mengulas keputusan Malaysia menamatkan saingan sebagai naib juara Kumpulan B, Zii Jia mengakui Jepun adalah pasukan yang lebih baik dalam pertemuan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




