sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan All Combo (AC) Esports yakin mampu bangkit dalam pusingan kedua, sekali gus merebut tempat ke playoff Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) musim ke-17.
Pengasas bersama AC Esports, Simon Lim menegaskan pasukannya akan memberikan persembahan terbaik dan mengutip mata penting kerana beliau percaya masih mempunyai peluang selagi saingan belum berakhir.
Katanya, mereka berdepan aksi kurang konsisten pada pusingan pertama musim ini sehingga berada di kedudukan ketujuh dengan hanya satu mata sahaja.
“Bagi saya, selagi belum tamat, kami belum habis. Kedudukan sekarang memang mencabar, tetapi tekanan seperti ini yang akan menentukan karakter sebenar sesebuah pasukan.
“Kami datang ke MPL bukan sekadar cukup syarat, kami datang untuk bersaing.
“Kalau kami dapat konsistenkan prestasi serta melaksanakan perancangan dengan baik, saya percaya AC masih ada peluang ke playoff.
“Apabila momentum itu datang, kami bukan sekadar mahu masuk playoff, tetapi mahu jadi pasukan yang sukar ditewaskan,” katanya.
Selain itu, kehadiran pemain baharu, Favian Bayu Putra dijangka mampu membawa perubahan besar terhadap corak permainan pasukan serta memberi suntikan semangat kepada keseluruhan skuad AC.
“Favian bukan sekadar tambahan pemain, dia adalah ‘game changer’ untuk kami. Dia membawa pengalaman, disiplin dan kepimpinan dalam permainan yang pasukan perlukan sekarang. Tapi saya nak tekankan, kejayaan bukan bergantung kepada satu individu sahaja.
“Favian membantu meningkatkan standard pasukan, tetapi keseluruhan pasukan perlu bangkit bersama.
“Kami percaya dengan struktur baharu ini, corak permainan AC akan jadi lebih jelas dan stabil,” katanya yang melihat pemain kelahiran Indonesia itu mempunyai pengalaman cukup luas dalam MPL terutama di Indonesia termasuk pernah meraih beberapa gelaran sebelum ini.
Justeru, kemasukannya ke AC kali ini dijangka mampu membawa pasukan itu keluar dari zon terbawah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




