'Presiden UMNO tak bersetuju penubuhan kerajaan baharu' – Anthony Loke

'Presiden UMNO tak bersetuju penubuhan kerajaan baharu' – Anthony Loke

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak bersetuju dengan penubuhan kerajaan baharu atau ‘tebuk atap’ di Negeri Sembilan, susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke merangkap Menteri Pengangkutan sewaktu mesyuarat Kabinet semalam dihadiri Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Berikutan itu, beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu berjalan seperti biasa.

“Setakat ini tidak ada perkembangan terkini. Saya rasa kita berjalan seperti biasa, seperti yang saya tegaskan. Semalam juga dalam (mesyuarat) Biro Politik UMNO telah pun mengeluarkan kenyataan walaupun dikatakan 14 ADUN itu hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, tetapi masih sokong Kerajaan Perpaduan.

“Jadi saya lihat kalau itu pendirian yang dibuat oleh UMNO, malah dalam (mesyuarat) Kabinet semalam Presiden UMNO sendiri telah menyatakan pendirian yang sama kepada Kabinet. Maksudnya, Presiden UMNO juga tidak bersetuju dengan penubuhan kerajaan baharu atau tebuk atap.

“Jadi maksudnya kerajaan sedia ada ini kekal Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, untuk memastikan kestabilan dan kelangsungan perjalanan pentadbiran di peringkat negeri. Saya rasa itu dapat diperjelaskan dan ia akan membantu meredakan keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Readers Forum on the English Edition of Xi Jinping: The Governance of China, Volume V di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Mengulas lanjut kemelut berkaitan institusi adat dan Perlembagaan negeri itu, Loke yang juga ADUN Chennah mengambil pendekatan tidak mencampuri urusan itu.

“Memang kita tahu ada isu yang belum selesai antara institusi Yang di-Pertuan Besar dengan Datuk Dr Undang. Jadi itu adalah sesuatu yang di luar kawalan kita. Itu perlu diselesaikan dengan baik dalam institusi tersebut.

“Jadi kita tak boleh masuk campur. Bagi kita di peringkat kerajaan adalah memastikan kerajaan berjalan seperti biasa. Menteri Besar, Exco dan ADUN, mereka berfungsi seperti biasa, bekerja seperti biasa. Itu saya rasa dapat memastikan kestabilan dapat dijamin,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai pembabitan seorang menteri pusat bersama 14 ADUN menarik sokongan terhadap Aminuddin, Loke enggan mengulas lanjut dan meminta soalan itu ditanya teruskan individu berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top