
Patricia Tan (kiri) dan Shazman ketika majlis perasmian Kejohanan Pickleball AmBank Malaysia.
KEJOHANAN Pickleball AmBank Malaysia edisi kedua yang bakal berlangsung pada 19 hingga 21 Jun depan dijangka lebih sengit dan meriah dengan penyertaan kira-kira 600 peserta daripada 10 negara.
Selain peningkatan jumlah pemain, nilai tawaran hadiah kemenangan turut dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM66,000, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara kejohanan terkemuka dalam kalendar sukan tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Score Sports Management, Patricia Tan berkata, pihaknya melihat potensi besar dalam sukan ini dan mahu meningkatkan standard penganjuran demi pengalaman terbaik para pemain.
“Kejohanan ini adalah tentang mewujudkan platform di mana pemain boleh bersaing secara serius, dalam masa sama memastikan sukan ini kekal mudah diakses dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.
Kejohanan selama tiga hari itu bakal menampilkan persaingan dalam kategori novis, pertengahan dan terbuka yang merangkumi acara beregu lelaki, wanita serta campuran.
Bagi memastikan kualiti perlawanan, format peringkat kumpulan akan diikuti dengan pusingan kalah mati bagi memberikan pendedahan kompetitif yang maksimum kepada semua peserta.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan AmBank, Shazman Shahid berkata, penglibatan berterusan AmBank adalah bukti komitmen mereka dalam menyokong gaya hidup aktif dan penglibatan komuniti.
“Memandangkan pickleball berkembang pesat daripada hobi rekreasi kepada sukan kompetitif, Kumpulan AmBank berbangga menjadi antara penggerak utama di barisan hadapan.
“Melalui SCORE, acara ini menawarkan peluang kepada pelanggan dan komuniti kami merasai sendiri tenaga sukan ini, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sukan ini di peringkat tempatan,” jelasnya.



