am@hmetro.com.my
Jempol: “Saya perasan seminggu lalu umi tidak banyak bercakap, sebaliknya lebih banyak tersenyum. Saya anggap itu perkara biasa.
“Namun, saya tidak sangka umi dan bapa pergi buat selama-lamanya dalam kemalangan malam tadi ketika dalam perjalanan menghadiri kuliah mingguan tafsir al-Quran dan kitab di Batu Kikir,” kata Mohd Al Zubair Zakaria, 42.
Mohd Alwi Yusof, 75, dan isterinya, Rasmah Pilus, 65, maut dalam kejadian kemalangan di di Kilometer 19 Jalan Kuala Pilah–Simpang Pertang, jam 7.30 malam semalam.
Kereta dinaiki pasangan warga emas itu terbabas sebelum masuk ke dalam longkang.
Mohd Al Zubair berkata, kali terakhir berjumpa umi dan bapanya pada Selasa lalu apabila pulang menjenguk mereka yang tinggal berdua di Kampung Bayai Lama.
“Di hari kejadian saya menerima panggilan telefon daripada ahli keluarga mengenai kejadian menimpa arwah berdua.
“Umi dan bapa dalam perjalanan menghadiri kuliah mingguan tafsir al-Quran dan kitab di Batu Kikir.
“Setiap hari Rabu, mereka berdua akan menghadiri kuliah berkenaan yang diadakan pada setiap minggu,” katanya yang juga anak kedua daripada lima beradik.
Menurutnya, umi pernah berpesan kepada mak cik dan anak saudaranya supaya menggunakan kain kapan yang sudah disediakan olehnya.
“Alhamdulillah hasrat arwah itu dapat ditunaikan selepas proses memandikan jenazah di Hospital Jempol,” katanya.
Al Zubair berkata biarpun menetap di Sendayan, setiap minggu dia akan pulang menjenguk kedua ibu bapanya.
Manakala bagi anak saudara Allahyarham Rasmah, Siti Zarina Abdullah, 53, dia sememangnya rapat dengan suami isteri itu dan akan menjenguk apabila kelapangan.
Katanya, kali terakhir mereka berjumpa dua minggu lalu ketika sambutan jamuan Aidilfitri di rumah anaknya.
“Arwah sangat mesra dan baik, mengambil berat hal anak saudara malah saya turut memanggilnya umi,”katanya.
Media melaporkan ketika kejadian kedua-dua mangsa menaiki kereta Proton Saga dari arah Simpang Pertang menuju ke Kuala Pilah.
Kejadian dipercayai berlaku selepas pemandu kereta hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan terbabas masuk ke dalam longkang.
Akibat kejadian ini kedua-dua mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd



