hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak mengeluarkan ulasan tidak wajar berhubung krisis yang sedang melanda Negeri Sembilan pada ketika ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM selaku pasukan keselamatan sedang memastikan tahap ketenteraman di seluruh negeri itu sentiasa berada dalam keadaan terkawal.
“Saya cuma memohon kepada semua pihak supaya bertenang, tidak membuat sebarang komen yang saya rasa tidak perlu kerana saya percaya apa yang berlaku di Negeri Sembilan adalah isu yang membabitkan adat dan budaya yang diamalkan di negeri berkenaan,” katanya.
Mohd Khalid mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung isu berkenaan.
“Banyak kita terima laporan semuanya berkaitan ketidakpuasan hati. PDRM akan menjalankan siasatan terperinci ke atas laporan-laporan berkenaan untuk menentukan arah tuju kes dan tindakan yang akan diambil,” katanya.
Konflik politik di Negeri Sembilan tercetus apabila Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang juga ADUN Pertang, membuat pengumuman 14 ADUN BN-UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, pada Ahad lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu, BN menang di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 17 kerusi yang ditandingi manakala Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 17 kerusi, yang mana DAP (11), PKR (lima) dan Parti Amanah Negara (Amanah) (satu).
Perikatan Nasional (PN) pula menang di lima kerusi iaitu DUN Paroi, Serting, Gemas, Bagan Pinang dan Labu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




