Kes gangguan seksual: Ebit Lew diarah bela diri atas 11 pertuduhan

Kes gangguan seksual: Ebit Lew diarah bela diri atas 11 pertuduhan

Tenom: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, memerintahkan pendakwah Ebit Irawan Lew, atau lebih dikenali sebagai Ebit Lew, membela diri atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

Majistret Nur Asyraf Zolhani berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ebit Lew, 41.

“Setelah meneliti dan menilai dengan penilaian positif kredibiliti dan kebolehpercayaan kesemua keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pihak pendakwaan dan setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak serta di atas penilaian maksimum terhadap kesemua keterangan pihak pendakwaan, mahkamah ini mendapati bahawa satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan ke atas tertuduh ” kata Nur Asyraf.

Sebelum ini, mahkamah mendengar keterangan 18 saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes yang bermula pada September 2022.

Ebit Lew didakwa melakukan kesemua kesalahan itu termasuk mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 40-an dengan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top