Fazura Dedah Fatima Mahu Ikut Jejak ‘Pak Long’, Lanjut Pengajian Di Luar Negara

Fazura Dedah Fatima Mahu Ikut Jejak ‘Pak Long’, Lanjut Pengajian Di Luar Negara

“Fatima pula sudah mula menanam cita-cita. Mommy pula kena bekerja keras dari sekarang”.

Demikian respons Fazura ketika berkongsi rasa terharu apabila anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya meluahkan keinginan untuk melanjutkan pengajian di luar negara.

Kata Fazura, Fatima meluahkan perkara itu selepas melihat kejayaan abang sulungnya, Dr. Yusrizam yang telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat Sarjana dalam jurusan Undang-Undang di University of London, United Kingdom baru-baru ini.

“Abang saya telah menamatkan pengajian Sarjana Undang-undang (Master of Laws, LL.M), University of London. Tentu sekali Faz merasa amat bangga, terinspirasi dan teruja dengan pencapaiannya.

“Fatima pula sudah mula menanam cita-cita, “Mummy, I want to study hard and be smart just like Pak Long”.

“Masyaa-Allah, maknanya lebih 500 hari di London nanti. Mommy pula kena work hard dari sekarang,” katanya menerusi hantaran di Threads.

 

Dalam hantaran sama, Fazura juga meluahkan rasa syukur apabila dikurniakan ahli keluarga yang penyayang selain memiliki peminat yang tidak putus memberi sokongan di setiap perjalanan kehidupannya.

“Apa pun, Faz bersyukur dikurniakan keluarga yang baik dan penyayang. Akhir kata, saya dengan rendah diri ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kesayangan saya atas ucapan tahniah dan perkongsian rasa gembira ini bersama,” kongsinya.

Terdahulu, pelakon filem Pisau Cukur itu berkongsi momen gembira apabila berpeluang untuk menghadiri majlis graduasi abang kesayangannya selain dapat meluangkan masa bersama-sama.

“Alhamdulillah, lawatan saya ke London pada kali ini sangat bermakna kerana berpeluang meraikan majlis graduasi abang saya dan kami dapat meluangkan lebih banyak masa bersama, persis waktu kanak-kanak dulu,” ujarnya.

Scroll to Top