khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menggesa semua pihak agar tidak mempolitikkan penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave yang bermula hari ini hingga 2 Mei.
“Jangan semua program dijadikan isu politik. Kalau begitu, bagaimana mahu membangunkan ekonomi (negara)?
“Penganjuran program seperti ini juga ada promosi makanan. Nanti boleh temuramah penjaja bagaimana dengan pendapatan yang diperoleh mereka.
“Adakah mereka senang hati dengan program kerajaan ini atau mereka marah? Boleh juga tanya rakyat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Rain Rave Water Music Festival 2026 di ibu negara, malam ini.
Tiong berkata, penganjuran festival itu sempena cuti Hari Buruh adalah supaya pekerja dapat merehatkan diri selepas penat bekerja.
Beliau turut menafikan acara berkenaan menyamai perayaan Songkran di Thailand, sebaliknya hanyalah festival muzik yang berkonsepkan air.
“Program kita bukan Songkran, cuma festival muzik berkonsepkan air. Mungkin orang nampak ada air, dia ingat Songkran,” katanya.
Tiong turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menghadiri Festival Muzik Air Rain Rave dan menegaskan pihaknya menghormati perbezaan agama di Malaysia.
“Mana-mana pihak merasakan boleh datang, (silakan) datang. Kalau kita merasakan agama kita tidak bagi kelulusan atau tidak benarkan, jangan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan keselamatan pengunjung yang hadir ke program itu diberi perhatian, dengan pihak polis sentiasa berada di lokasi penganjuran bagi memantau ketenteraman awam.
Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang termasuk penyalahgunaan dadah atau alkohol.
“Kita sudah minta penguat kuasa (seperti) polis untuk jalankan tugas. Kalau ada yang mengambil dadah dan sebagainya, tangkaplah. Kita tiada masalah.
“Kita buat program ini untuk rakyat, jadi keselamatan pelancong dan penduduk tempatan yang hadir memang terjamin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




