Integriti asas reformasi tenaga kerja

Integriti asas reformasi tenaga kerja

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Integriti disifatkan sebagai kekuatan dalaman yang menjadi asas kepada reformasi tenaga kerja, selaras sambutan Hari Pekerja 2026 bertemakan “Pekerja MADANI KESUMA Bangsa”.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Seri Noridah Abdul Rahim berkata, walaupun kepentingan integriti sering diakui, masih wujud jurang dalam pelaksanaannya di tempat kerja.

Menurutnya, integriti tidak gagal dalam perkara besar, sebaliknya sering terjejas melalui kesalahan kecil yang dibiarkan berlarutan hingga menjadi kebiasaan dalam organisasi.

“Kesalahan kecil yang tidak ditegur boleh menjadi barah dan akhirnya menjejaskan kredibiliti organisasi,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam situasi tekanan kerja, ada pihak mengambil jalan pintas seperti meluluskan dokumen tanpa semakan teliti bagi mempercepatkan urusan.

Katanya, tindakan itu mungkin dilihat remeh, namun memberi risiko besar dari sudut tata kelola dan boleh menghakis kepercayaan secara berperingkat.

“Integriti bukan bergantung kepada sistem semata-mata, tetapi pilihan yang dibuat walaupun tanpa pengawasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, cabaran mengekalkan integriti semakin ketara dalam persekitaran kerja moden termasuk pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR).

Menurut laporan Gallup 2023, organisasi yang mempunyai tahap kepercayaan tinggi mencatatkan prestasi 23 peratus lebih baik.

Katanya, kepercayaan kini menjadi elemen penting dalam menentukan produktiviti, terutama apabila pekerja tidak berada di bawah pengawasan fizikal.

“Dalam konteks BDR, kejujuran penggunaan masa dan kualiti hasil kerja menjadi ukuran profesionalisme,” katanya.

Beliau berkata, laporan Edelman Trust Barometer 2024 pula menunjukkan 79 peratus pekerja meletakkan harapan tinggi kepada organisasi sebagai teladan moral.

Sementara itu, peningkatan kedudukan Malaysia ke tangga ke-54 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 dilihat sebagai petunjuk kepada penambahbaikan dalam aspek ketelusan dan akauntabiliti.

Namun, katanya, usaha itu tidak akan memberi makna sekiranya prosedur dilihat sekadar beban birokrasi.

“Tata kelola perlu dilihat sebagai panduan untuk memastikan setiap tindakan selari dengan matlamat organisasi dan negara,” katanya.

Beliau berkata, setiap langkah pemantauan yang dilaksanakan adalah untuk memperbaiki cara kerja serta mengelakkan kesilapan dari peringkat awal.

“Integriti bukan sekadar slogan, tetapi cerminan diri apabila berdepan tekanan dan cabaran,” katanya.

Menurutnya, keputusan kecil yang dibuat setiap hari akan membentuk karakter seseorang pekerja.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak mengutamakan integriti dalam setiap urusan dan tidak menjadikannya sekadar retorik.

“Pekerja MADANI KESUMA Bangsa perlu berpegang kepada amanah dan prinsip dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top