‘Infantino tidak faham penderitaan mendalam rakyat Palestin’

‘Infantino tidak faham penderitaan mendalam rakyat Palestin’

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA), Jibril Rajoub menegaskan bahawa Presiden FIFA, Gianni Infantino berkemungkinan besar tidak memahami atau tidak menyedari penderitaan mendalam yang sedang dialami oleh rakyat Palestin ketika ini.

Kenyataan itu menyusul selepas kejadian pada Kongres FIFA di Vancouver apabila Rajoub enggan berdiri bersebelahan atau berjabat tangan dengan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Israel (IFA), Basim Sheikh Suliman di atas pentas.

Infantino dilihat cuba memujuk dengan memegang lengan Rajoub namun Presiden PFA itu tetap dengan pendiriannya susulan kekejaman yang tidak berperikemanusiaan Israel ke atas penduduk Palestin.

“Saya rasa Gianni (Infantino) berhak untuk cuba merapatkan jurang dan menyatukan orang ramai, tetapi mungkin beliau tidak faham atau tidak tahu penderitaan mendalam rakyat Palestin,” kata Rajoub selepas tamat kongres.

Rajoub menegaskan, prinsip sukan harus dihormati, namun beliau tidak boleh berkompromi apabila pihak lawan mewakili entiti yang dianggapnya sebagai penjenayah.

“Jika pihak lain mewakili seorang penjenayah seperti Bibi (Benjamin Netanyahu) dan bercakap bagi pihaknya seolah-olah beliau itu ‘Mother Teresa’, bagaimana saya boleh bersalaman atau bergambar dengan lelaki sebegitu?

“Sudah tiba masanya untuk memahami bahawa Israel harus dikenakan sekatan. Dasar talam dua muka (double standard) ini harus dihentikan,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden PFA, Susan Shalabi menyifatkan tindakan Infantino yang cuba memaksa pertemuan itu menunjukkan kurangnya pertimbangan terhadap isu sebenar yang diperjuangkan Palestin.

Menurut Susan, beliau tidak akan sesekali membiarkan imej pemimpin Palestin digunakan untuk membersihkan jenayah genosid yang sedang berlaku di Gaza.

“Meletakkan kami dalam posisi untuk bersalaman selepas segala yang diperkatakan seolah-olah menafikan tujuan utama ucapan Jeneral (Rajoub).

“Beliau meluangkan masa kira-kira 15 minit menjelaskan kepentingan peraturan dan bagaimana hak persatuan ahli dicabuli, kemudian mereka (FIFA) hanya mahu menyembunyikannya di bawah permaidani dengan sekadar bersalaman? Ia sangat tidak masuk akal,” katanya.

Sebelum ini, Rajoub dalam ucapannya merayu agar FIFA mengambil tindakan tegas terhadap kelab-kelab Israel yang berpangkalan di penempatan haram Tebing Barat.

Bagaimanapun, FIFA bulan lalu memutuskan untuk tidak mengenakan sebarang sekatan terhadap IFA atau kelab-kelab berkenaan dengan alasan status undang-undang Tebing Barat masih ‘belum selesai’ di bawah undang-undang antarabangsa.

Susulan itu, PFA telah mengemukakan rayuan rasmi kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi mencabar keputusan FIFA yang dianggap berat sebelah itu.

Scroll to Top