bhnews@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menganugerahkan 14 pemenang Anugerah Hari Pekerja 2026 atas sumbangan besar dalam sektor awam dan swasta bagi pekerja, majikan, media dan kesatuan sekerja.
Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dalam Karnival Sambutan Hari Pekerja 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Antara anugerah yang disampaikan adalah Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Perkhidmatan Awam), Anugerah Kesatuan Sekerja Terbaik Negara bagi kategori sektor awam, swasta dan badan berkanun serta Anugerah Media Terbaik yang merangkumi kategori individu dan agensi.
Bagi kategori kesatuan sekerja, Anugerah Kesatuan Sekerja Terbaik Negara Sektor Awam 2026 menjadi milik Sarawak Teachers’ Union (STU).
Presiden STU Kullin Djayang berkata, ia adalah merupakan anugerah pertama yang diterima kesatuan berkenaan.
“Ini adalah satu anugerah dan juga pengiktirafan kepada STU selepas 60 tahun berjuang.
“Saya mengucapkan ribuan tahniah dan terima kasih kepada semua pemimpin STU yang lalu serta kepimpinan semasa termasuk semua pihak yang sudah bertungkus-lumus,” katanya.
Kesatuan itu turut diiktiraf atas pembabitan aktif dalam program antarabangsa termasuk inisiatif Education International Asia Pacific di Bangkok (Thailand) serta sumbangan dalam memperkasa profesion perguruan di peringkat ASEAN.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wasiyyah Arifin Sabirin yang menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara 2026 berkata, pengiktirafan diterima pihaknya amat penting dalam menyuntik semangat pekerja untuk terus meningkatkan prestasi, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
“Kita berdepan dengan cabaran ekonomi yang hebat pada masa kini. Jadi anugerah seperti ini memberikan semangat yang kuat kepada kita untuk bekerja lebih keras dalam membantu negara dan meningkatkan produktiviti.
“Saya turut ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KESUMA, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan pihak kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri kerana memberikan anugerah ini kepada pekerja-pekerja”, katanya.
Kumpulan berkenaan menerima anugerah itu bagi kategori eksekutif serta pembabitan aktifnya di peringkat antarabangsa termasuk di Thailand serta pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat.
Selain itu, Anugerah Kesatuan Sekerja Terbaik Negara Sektor Swasta 2026 pula dimenangi Kesatuan Pekerja-Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Berhad Semenanjung Malaysia (UPUS).
Setiusaha Agung UPUS Nikmatullah Abu Bakar Citti, turut menitipkan penghargaannya atas anugerah yang diterima.
“Anugerah ini bukan sahaja menjadi satu penghormatan kepada kesatuan kami, malah merupakan simbol kerjasama padu seluruh anggota kesatuan sejak penubuhannya pada 1959.
“Perjalanan panjang ini membentuk asas yang kukuh dalam memperjuangkan kebajikan dan kepentingan anggota secara berterusan”, katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




