
Aksi berkenaan tular. Foto Agensi
DHAKA – Satu detik mencemaskan di sebuah stesen kereta api di Bangladesh tular di media sosial apabila seorang bapa sanggup mengorbankan diri dengan melindungi anak kecilnya menggunakan tubuh badan ketika sebuah kereta api laju melintasi mereka.
Insiden itu dilaporkan berlaku di Stesen Kereta Api Bhairab baru-bar ini.
Insiden bermula apabila anaknya yang berusia kira-kira setahun terlepas daripada dakapannya dan jatuh ke ruang sempit di antara platform dan landasan.
Dalam keadaan panik, bapa tersebut terus melompat ke landasan tanpa berlengah, menarik anaknya rapat dan baring menindih tubuh si kecil itu bagi melindunginya daripada laluan tren yang sedang meluncur laju.
Rakaman video kejadian menunjukkan detik mencemaskan apabila beberapa gerabak kereta api melintasi tepat di atas mereka, manakala orang ramai di platform hanya mampu melihat tanpa dapat berbuat apa-apa.
Menurut laporan media antarabangsa termasuk Al Jazeera, kedua-dua beranak itu secara ajaib terselamat tanpa mengalami kecederaan serius.
Sejurus tren berlalu, orang ramai segera berlari ke arah mereka dan membantu membawa kedua-duanya naik semula ke platform.
Seorang wanita dilaporkan segera mendukung kanak-kanak tersebut sementara orang lain memeriksa keadaan bapa berkenaan.
Insiden itu mencetuskan reaksi meluas di media sosial, dengan ramai memuji keberanian dan naluri seorang bapa yang bertindak pantas menyelamatkan anaknya dalam situasi genting.-Agensi



