Hanya tahu adik maut ditikam 61 kali selepas baca berita – Abang

Hanya tahu adik maut ditikam 61 kali selepas baca berita – Abang

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: “Sabtu lalu kami hantar adik untuk menyambung semester baharu, tapi hari ini kami terima berita yang sangat pilu,” kata abang kepada gadis yang ditemui maut dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh hari ini.

Menurut Mohd Faris Zulkifly, 21, berkata, keluarganya dihubungi polis pada 12.30 tengah hari tadi, memaklumkan adiknya Nurfisya Zulkifly, 19, meninggal dunia tetapi tiada perincian lanjut.

“Tanpa berlengah, kami sekeluarga terus bertolak dari Kuala Kangsar, Perak ke Kelantan dan pada 8 malam tadi kami tiba di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Baru Sabtu lalu kami datang (Kelantan) menghantarnya. Tak sangka berita sebegini yang kami terima,” katanya ketika ditemui di HRPZ II, di sini.

Mohd Faris berkata, mereka sekeluarga hanya mengetahui butiran lanjut kematian tragis adiknya yang juga anak kedua daripada empat beradik apabila membaca berita yang disiarkan secara dalam talian.

“Ketika itu kami dalam perjalanan ke sini… sudah tiba di Jeli. Sebaik mengetahui adik maut ditikam (61 kali), ibu bapa saya menangis tidak henti, (insiden) memang sangat mengejutkan,” katanya.

Menurutnya lagi, Nurfisya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika pulang bercuti, namun adiknya itu teringin makan pelbagai makanan kegemaran termasuk ayam penyet.

Selain itu, katanya, arwah juga berkongsi impian untuk memiliki kereta Mini Cooper dan berhasrat membelinya selepas tamat pengajian dan bekerja.

“Adik baru memasuki semester ketiga dan tempoh pengajiannya tujuh semester kesemuanya. Kami sekeluarga berharap agar pelaku dapat ditangkap secepat mungkin dan dihukum setimpal,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mangsa yang juga penuntut Kolej Poly-Tech MARA ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman sebelum ditinggalkan di jalan Kampung Simah, Ketereh.

Mangsa ditemui penduduk kampung pada 12.30 tengah malam dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan bermula dari bahagian muka hingga kaki.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top