Harimau kurus di Zoo Tennoji bukan Harimau Malaya

Harimau kurus di Zoo Tennoji bukan Harimau Malaya

PETALING JAYA: Dakwaan seekor harimau yang dikatakan spesies Harimau Malaya dalam keadaan kurus dan tidak sihat di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun adalah palsu.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung penularan video berkait laporan media berbahasa Inggeris yang tersebar di media sosial, semalam.

Katanya, video itu mencetuskan kebimbangan serta reaksi negatif dalam kalangan masyarakat, terutama berkaitan kebajikan hidupan liar dan imej pemuliharaan Harimau Malaya.

“Hasil semakan dan pengesahan lanjut mendapati hidupan liar yang dipaparkan dalam video berkenaan adalah harimau amur (panthera tigris altaica) dan bukan Harimau Malaya (panthera tigris jacksoni).

“Kami juga menegaskan bahawa harimau amur berkenaan bukan milik Perhilitan atau Kerajaan Malaysia seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penularan maklumat yang tidak tepat itu menyebabkan kekeliruan awam terutama apabila spesies hidupan liar berkenaan disalah anggap sebagai Harimau Malaya.

Jelasnya, ia sekali gus menjejaskan persepsi terhadap usaha pemuliharaan spesies terancam negara.

“Orang awam perlu bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat, khususnya di media sosial dengan memastikan kesahihan fakta sebelum menyebarkan sebarang kandungan.

“Penyebaran maklumat tidak tepat atau tidak disahkan boleh menimbulkan kekeliruan, mencetuskan persepsi negatif, serta menjejaskan usaha pemuliharaan hidupan liar di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top