am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Dua beranak maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 71 Jalan Johor Bahru-Mersing, hari ini.
Selain mangsa yang juga ibu dan anak, seorang lelaki turut dilapor parah.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan pada 5.15 petang, membabitkan Proton Persona dinaiki tiga sekeluarga dan Perodua Bezza.
Katanya, Proton Persona dipandu lelaki berusia 56 tahun, dengan penumpang terdiri daripada isterinya (51 tahun) dan anak perempuan, 14, manakala Perodua Bezza dipandu lelaki berumur 27 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Persona hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung Perodua Bezza.
“Akibatnya, kedua-dua penumpang Proton Persona parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu parah serta dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk rawatan lanjut.
“Pemandu Perodua Bezza pula tidak cedera,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Terdahulu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Saiful Afiz Sidek dilapor berkata, sepasukan 11 anggota bergegas ke lokasi untuk kerja menyelamat sebaik menerima panggilan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




