lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 10 rakyat Malaysia peserta Global Sumud Flotila (GSF) yang diculik tentera Israel, sudah dilepaskan di Pelabuhan Ierapetra, Greece, hari ini.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kesemua delegasi Malaysia itu adalah antara 175 aktivis kemanusiaan yang ditahan di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece, semalam.
Menurutnya, semua aktivis terbabit kemudian dibawa ke Lapangan Terbang Herakleon, Crete dengan menaiki bas yang disediakan oleh pihak Greece bagi urusan perjalanan pulang.
“Kerajaan Turkiye sudah menyediakan sebuah pesawat berkapasiti 160 penumpang untuk membawa pulang 20 aktivis warga negara itu.
“Pada masa sama, pihak Turkiye turut membuka peluang kepada mana-mana aktivis GSF dari negara lain untuk menaiki penerbangan sama,” katanya pada sidang media siaran langsung dari SNCC, Bangi, malam ini.
Beliau berkata, penerbangan berkenaan dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Herakleon pada jam 10.15 malam waktu Malaysia.
Katanya, ia dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul 11.45 malam waktu Malaysia.
Dalam pada itu, Sani Araby berkata, SNCC sudah berhubung dengan Kementerian Luar Negeri bagi menyelaras pergerakan 10 aktivis Malaysia dari Greece ke Istanbul.
“Tiga wakil SNCC kini berada di Istanbul bagi tujuan pengurusan serta penilaian lapangan untuk memastikan kelancaran urusan seterusnya.
“Keputusan sama ada kesemua aktivis Malaysia itu akan meneruskan misi atau pulang ke tanah air bergantung kepada tahap kesihatan mereka serta situasi semasa.
“Ia akan diputuskan secara konsensus antara SNCC dan pihak GSF,” katanya.
Semalam, SNCC mengesahkan 10 rakyat Malaysia antara peserta terputus hubungan pada hari ke-18 misi kemanusiaan GSF.
Sebanyak 22 daripada keseluruhan 63 kapal dilaporkan dipintas pihak berkuasa Israel di perairan Mediterranean berhampiran Kepulauan Crete, Greece.
Mereka yang ditahan adalah pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III, Mohd Hanafi Mohd Salim (Bianca BCN), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Bianca BCN), Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN), Hazwan Hazim Dermawan (Bianca BCN).
Turut ditahan, Osman Zolkifli (Eros 1), Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1), Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai II), Mohd Redzal Amzah (Freia) dan Muhamad Muhsin Zaidi (Marea).
© New Straits Times Press (M) Bhd




