Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, baru-baru berkenan melantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu sekali gus menoktahkan segala spekulasi.
Mulai 13 Mei ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menerima nakhoda baharu, menandakan berakhirnya era Tan Sri Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya.
Dilahirkan pada 12 Mei 1963 di Negeri Sembilan, anak watan ini mewakafkan hampir empat dekad usianya membanteras jenayah kolar putih sejak menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1984.
Dilantik menerajui agensi itu pada 5 Mei 2020, kepemimpinan Azam kekal utuh merentasi tiga pentadbiran Perdana Menteri. Hakikatnya khidmat beliau disambung sebanyak tiga kali – 2023, 2024, dan 2025 – adalah satu isyarat jelas: kepakaran dan ketegasannya sangat didambakan oleh negara terutama ketika negara berdepan jenayah kewangan yang semakin kompleks.
Penulis menelusuri rentetan khidmat beliau, legasi Azam Baki bukanlah sekadar retorik. Ia adalah sebuah rekod kerja yang dicetak dengan angka gergasi, keberanian luar biasa dan pengembalian bilion ringgit kepada kantung negara.
Pelopor Sistem Pelucutan Hak Harta (Asset Forfeiture)
Satu pencapaian signifikan yang sering terlepas pandang oleh pengkritik adalah peranan Azam sebagai pelopor kepada kaedah sistem pelucutan hak harta. Beliau bijak memaksimumkan penggunaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) dan Akta SPRM 2009.
Pendekatan ini memastikan rasuah tidak lagi sekadar menghukum pesalah ke penjara, tetapi bertindak agresif merampas semula ‘oksigen’ mereka iaitu wang haram. Rekod pelucuthakan di bawah pentadbiran beliau sangat mencengangkan.
Berdasarkan statistik rasmi yang dibentangkan di Parlimen awal tahun ini, bagi tempoh 2020 hingga 2024, SPRM merekodkan pelucuthakan aset negara bernilai lebih RM28.25 bilion.
Pada tahun 2023, jumlah aset yang dilucuthak mencatatkan lonjakan luar biasa melebihi RM8.11 bilion manakala bagi tahun 2024, tindakan penguatkuasaan berterusan menambah sebanyak RM140 juta lagi aset yang dipulangkan kembali kepada negara. Ini adalah angka pemulihan aset (asset recovery) yang belum pernah dicapai oleh mana-mana ketua agensi penguatkuasaan sebelum ini.
Metrik operasi 2024-2025 yang menggerunkan sang perasuah
Prestasi SPRM di bawah tadbir urus beliau bukan cakap kosong, tetapi disokong oleh statistik penguatkuasaan yang konsisten.
Sepanjang tempoh lima tahun (2020-2024) yang menjadi kemuncak kerjaya beliau, SPRM telah menerima lebih 30,483 maklumat rasuah, yang menterjemahkan keyakinan rakyat untuk melapor. Daripada jumlah ini, ribuan kertas siasatan dibuka, menjurus kepada tangkapan berprofil tinggi dan serbuan ke atas lebih 2,000 penjawat awam yang culas. Momentum cemerlang ini diteruskan tanpa henti ke tahun 2025.
Di saat sesetengah pihak menjangkakan beliau akan ‘memperlahankan’ rentak pada tahun-tahun akhir perkhidmatannya, SPRM sebaliknya terus mengganas. Salah satu kejayaan terhebat pada 2025 adalah pembongkaran Ops Sohor. Operasi khas ini berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rentas sempadan (Selat Melaka hingga Johor) bernilai RM5 juta sebulan. Lebih mengejutkan, SPRM di bawah kepemimpinan Azam berani masuk ke sarang pertahanan negara dengan menahan pegawai kanan tentera yang didapati menerima rasuah bulanan bagi membocorkan maklumat operasi pertahanan.
Tindakan tanpa gentar ini membuktikan SPRM di bawah Azam Baki langsung tidak berkompromi walau melibatkan institusi keselamatan negara.
Selain pencapaian terkini, kita tidak boleh melupakan bahawa keberanian Azam mendepani elit politik dan korporat terserlah dalam siasatan skandal mega 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd. Beliau menjadi arkitek kepada pelbagai ops berprofil tinggi, daripada penemuan tunai RM50 juta dalam Ops Water Gate hinggalah keberanian menyiasat firma guaman gergasi antarabangsa seperti White & Case. Ini membuktikan di bawah Azam Baki, SPRM mempunyai taring yang tajam bukan hanya di Malaysia, tetapi dihormati oleh agensi risikan antarabangsa.
Menjadi individu nombor satu yang memburu jerung besar pastinya menjadikan beliau sasaran pelbagai tohmahan. Isu pemilikan saham atau dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ sering dijadikan peluru oleh penjenayah kolar putih dan seteru politik untuk membunuh karakter serta melemahkan institusi ini.
Namun, di sinilah terletaknya kekuatan mental seorang pegawai penguat kuasa tulen. Walaupun dihujani desakan demi desakan dan disemak oleh jawatankuasa khas peringkat tertinggi, Azam tidak sedikit pun mengendurkan taring SPRM. Ketahanan beliau menyerap tekanan, serta meneruskan operasi agresif sehingga ke penghujung kontrak pada 2026, membuktikan ketaatan beliau kepada mandat membendung rasuah jauh melangkaui kepentingan menjaga imej peribadi.
Apabila Tan Sri Azam Baki melangkah keluar dari ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 12 Mei nanti, beliau tidak meninggalkan agensi itu dengan tangan kosong. Beliau meninggalkan sebuah empayar antirasuah dipulihkan martabatnya, yang berjaya mengutip semula RM28 bilion duit rakyat yang dirampas dan membongkar sindiket pengkhianat negara (seperti Ops Sohor 2025) tanpa mengenal erti takut.
Kontroversi mungkin datang dan pergi menjadi sensasi di dada media, tetapi sejarah dan statistik yang terukir tidak boleh dipadam. Tan Sri Azam Baki akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang memacu SPRM ke era emas ketegasan dan penguatkuasaan.
Penulis wartawan Meja Jenayah Harian Metro
© New Straits Times Press (M) Bhd




