London: Leeds United hampir pasti kekal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan selepas menewaskan Burnley 3-1, awal pagi tadi.
Jaringan Anton Stach, Noah Okafor dan Dominic Calvert Lewin memastikan anak buah Daniel Farke kini sembilan mata meninggalkan zon penyingkiran dengan hanya empat perlawanan berbaki.
Kemenangan itu menebus kekecewaan Leeds yang sebelum ini tewas 0-1 kepada Chelsea dalam separuh akhir Piala FA di Wembley.
Leeds kini menghuni tangga ke-14 dalam musim pertama mereka kembali ke liga utama, sekali gus bersama Sunderland menafikan kebiasaan pasukan promosi tersingkir semula.
“Ini tiga mata yang sangat besar buat kami. Tugas belum selesai, kami hanya akan meraikan apabila ia sah secara matematik. Tapi 43 mata adalah jumlah yang baik,” kata Farke.
Menurut beliau, pencapaian itu juga penting untuk menutup mulut pengkritik selepas dua kali gagal mengekalkan Norwich City di liga utama sebelum ini.
“Kami kutip 10 mata daripada empat perlawanan terakhir dalam tempoh penuh tekanan. Bagi pasukan baharu naik, ini sesuatu yang cukup luar biasa,” katanya.
Sebaliknya, Burnley terus bergelut dan tersingkir buat kali ketiga dalam tiga musim di EPL.
Mereka sebelum ini hanya tewas perbezaan gol kepada Leeds dalam perebutan kejuaraan divisyen kedua musim lalu.
Burnley turut berpisah dengan pengurus Scott Parker, Khamis lalu, meskipun beliau memiliki rekod cemerlang membawa tiga kelab berbeza naik ke liga utama.
Leeds bermula garang apabila Stach meletakkan tuan rumah di depan seawal minit kelapan selepas percubaan rendahnya gagal diselamatkan Martin Dubravka.
Dominasi Leeds diteruskan sebelum dua gol dalam tempoh empat minit selepas rehat memastikan kemenangan.
Okafor menyempurnakan gerakan menarik hasil bantuan Calvert-Lewin, sebelum penyerang England itu sendiri menjaringkan gol ke-13 musim ini.
Burnley sekadar meraih gol sagu hati menerusi Loum Tchaouna dalam perlawanan pertama kendalian sementara Mike Jackson.
© New Straits Times Press (M) Bhd




