Polis kesan pemandu kereta pukul penunggang motosikal dengan kayu

Polis kesan pemandu kereta pukul penunggang motosikal dengan kayu

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai memukul penunggang motosikal menggunakan sebatang kayu dalam satu kejadian tular, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengesan video berdurasi kira-kira 30 saat itu dimuat naik di media sosial.

Menurutnya, video itu memaparkan seorang lelaki yang memandu sebuah kereta bertindak agresif dengan melakukan provokasi sebelum memukul seorang penunggang motosikal di tengah jalan.

“Kejadian dipercayai berlaku di kawasan sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Chagar, Bukit Senyum, di sini.

“Setakat ini, tiada sebarang laporan polis diterima daripada mana-mana pihak yang terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata, polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti kedua-dua individu terbabit termasuk motif kejadian.

“Polis juga sedang mengesan pemandu kereta bernombor pendaftaran BMY 7136 yang dipercayai terbabit dalam insiden itu,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di 07-2182323.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top