Mayat dipercayai Nur Qaseh Deandra ditemukan 11km dari lokasi jatuh

Mayat dipercayai Nur Qaseh Deandra ditemukan 11km dari lokasi jatuh

PETALING JAYA: Mayat kanak-kanak perempuan yang hilang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras dekat sini sejak Jumaat lalu, ditemukan sebentar tadi.

Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Syariman Wan Salleh berkata, mayat dipercayai Nur Qaseh Deandra Mohd. Qayyum, 9, ditemukan pada jarak kira-kira 11 kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.

“Mangsa ditemukan kira-kira pukul 12.17 tengah hari tadi oleh anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) yang menaiki bot menyusuri Sungai Langat.

“Ibu dan bapa mangsa telah hadir untuk membuat pengecaman di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Wan Syariman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan susulan penemuan itu. 

Tumpuan pencarian Nur Qaseh Deandra hari ini menjurus kepada lokasi penemuan petunjuk baharu. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, Izman Adnan  berkata, unit anjing pengesan (K9) dikerahkan ke lokasi.

Beliau berkata, radius SAR yang memasuki hari ketiga membabitkan lima km dari Pangsapuri Sri Hijau sehingga Sungai Long yang bersambung dengan Sungai Langat.

Menurutnya, pencarian turut dilakukan dari Sungai Langat sejauh 24km menghala ke penahan air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya, menjadikan radius keseluruhan pencarian 29km.

“SAR diluaskan sehingga Sungai Langat, namun tumpuan utama kita masih di sepanjang kira-kira 5km Sungai Long,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top