Empat lelaki menunggang melulu ditahan dalam Op Samseng Jalanan

Empat lelaki menunggang melulu ditahan dalam Op Samseng Jalanan

am@hmetro.com.my

Port Dickson: Polis menahan empat lelaki kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Bypass, di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Ruslan Mat Kib berkata, empat lelaki itu berusia 21 hingga 33 tahun.

“Operasi membabitkan 27 anggota termasuk tiga pegawai kanan polis memberi tumpuan kepada penunggang motosikal yang melakukan kesalahan lalu lintas serta aktiviti samseng jalanan.

“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 264 motosikal dan seramai 279 individu diperiksa,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, sebanyak 271 saman dikeluarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Antara kesalahan dikesan termasuk tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, menunggang bawah umur, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, ubah suai ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta kegagalan mematuhi keperluan keselamatan kenderaan.

“Dalam operasi sama, sebanyak 15 motosikal disita di bawah Seksyen 64, Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

“Selain itu, empat lelaki ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 42(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau berkata, polis akan mempergiatkan operasi seumpama bagi membanteras aktiviti samseng jalanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top