mhafis@mediaprima.com.my
Kajang: Polis mengesahkan video tular memaparkan pertengkaran di kawasan pencawang elektrik TNB, Jalan Prima Saujana 2/1A, di sini membabitkan pasangan suami isteri, namun tiada pergaduhan fizikal.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3.28 petang hari ini, dengan hasil siasatan mendapati ia hanya pertengkaran secara lisan tanpa sebarang perlakuan fizikal yang membawa kecederaan.
“Pasangan terbabit juga sudah tampil membuat laporan polis. Wanita berkenaan mengesahkan dia tidak dipukul dan menafikan dakwaan bahawa suaminya mencederakan dia.
“Kejadian disahkan sebagai pertengkaran mulut semata-mata dan tidak membabitkan sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita tidak benar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




