puterialia@hmetro.com.my
Putrajaya: Anak kepada usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Qadejah El Zahra mendedahkan dia baru sahaja dibenarkan keluar dari hospital, baru-baru ini.
Qadejah atau lebih mesra disapa Cess, 16, berkata, keadaan kesihatannya mula merosot apabila mengalami kesukaran bernafas pada waktu malam sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital oleh ibunya, Datin Seri Shahida.
“Sebenarnya saya baru sahaja keluar hospital kira-kira dua hari lalu. Semasa malam kejadian itu, saya rasa tidak boleh bernafas dan Mama terus bawa ke hospital.
“Doktor pada mulanya minta saya baring dan relaks,, Tetapi selepas pemeriksaan, doktor terkejut melihat platlet darah saya sangat rendah.
“Biasanya tahap normal adalah 106, tetapi bacaan saya hanya 17. Ujian darah dilakukan dua kali, namun keputusannya tetap sama,” katanya.
Cess berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Anugerah Inspirasi 2026 anjuran PTTI Group Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Menurut Cess lagi, situasi itu mengundang kebimbangan melampau buat ibunya apabila doktor memaklumkan terdapat kemungkinan dia menghidap leukemia atau jangkitan kuman yang serius.
“Mama memang sangat risau sebab doktor cakap kemungkinan paling teruk adalah leukemia. Masa itu Mama sampai tidak makan dan tak buat ‘live’ di media sosial sebab terlalu fikirkan keadaan saya.
“Malah, Mama pernah cakap kalau saya betul ada leukemia, dia sanggup mahu dermakan tulang sum-sum untuk saya. Saya minta Mama jangan cakap begitu dan yakin setiap penyakit pasti ada ubat.
“Buat masa ini, doktor masih lakukan ujian darah yang lebih terperinci dan keputusannya mungkin mengambil masa empat hari hingga seminggu.
“Doktor maklumkan rawatan tidak boleh dimulakan selagi punca sebenar belum dikesan kerana darah saya agak sukar untuk dikenal pasti apa masalahnya. Setakat ini, memang tidak tahu lagi saya sakit apa,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas keadaannya sekarang, Cess berkongsi dia turut mengalami beberapa kesan sampingan seperti sakit dada dan kepala.
Menurutnya, ini bukanlah kali pertama dia berdepan masalah kesihatan memandangkan dia pernah mengalami bengkak di bahagian leher pada tahun lalu.
“Saya seorang yang sentiasa positif, hidup mesti diteruskan. Cuma buat masa sekarang, Mama minta saya perlahankan kerja dan kurangkan aktiviti fizikal. Mama tidak mahu saya rasa tekanan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Cess yang bakal mengambil peperiksaan IGCSE juga secara rasmi sudah menjadi ikon baharu bagi PTTI Group Sdn Bhd.
Terdahulu, PTTI Group Sdn Bhd sekali lagi mencipta pencapaian membanggakan apabila melahirkan 534 pelajar yang memperoleh keputusan ‘straight A’ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Pencapaian ini turut melayakkan PTTI menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) buat kali ketiga selepas kejayaan terdahulu pada 2022 dan 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd




