Penyanyi Adira Suhaimi berkata meskipun berdepan kegagalan rumah tangga sebelum ini namun tidak menjadikannya serik untuk mencipta bahagia.
Memetik Utusan, Adira berkata dia melihat apa yang berlaku telah diaturkan Allah untuk menjadikan dirinya insan lebih baik.
BACA: Datuk Red Hadir Beri Sokongan Buat Anak, Mohon Maaf Pada Adira
“Saya tidak berasa serik dengan hari-hari yang telah berlalu. Saya percaya setiap kejadian telah diaturkan oleh Allah sebagai proses untuk saya belajar menjadi individu dan ibu yang lebih baik. Saya mengambil segala-galanya dari sudut positif.
“Apa yang berlaku pada masa lalu adalah sebahagian daripada perjalanan hidup saya, manakala apa yang berlaku di hadapan adalah proses untuk saya teruskan kehidupan,” katanya.
Sementara itu, Adira berkata sebagai ibu dia tidak boleh menunjukkan dirinya lemah kerana emosi anak-anak perlu diberi perhatian serta melihat apa yang pengalaman dilalui menjadikan dirinya lebih kuat.
“Saya tidak mempunyai pilihan selain menjadi kuat demi emosi dan mental anak-anak. Saya percaya wujud ikatan emosi antara ibu dan anak; jika saya lemah, anak-anak juga akan terkesan.
“Oleh itu, saya harus sentiasa positif dan kuat demi menguruskan keluarga. Pengalaman ini akhirnya menjadikan saya seorang yang benar-benar kuat,” katanya.
Tambah Adira lagi, sebagai wanita biasa sudah tentu dia mahukan kasih sayang dan perlindungan daripada seorang lelaki yang boleh membimbing dirinya dalam masa sama memberi sokongan kepadanya.
“Sebagai wanita, saya juga teringin untuk berasa dilindungi dan disayangi. Namun, kerana sudah terbiasa berdikari, rasa selamat dan dilindungi itu dianggap sebagai satu bonus. Apa yang lebih penting bagi saya sekarang adalah seorang pemimpin yang boleh membimbing dan menegur saya sekiranya saya tersasar.
“Saya memerlukan sistem sokongan yang matang dan mampu membuat keputusan, memandangkan selama ini saya telah terbiasa membuat keputusan sendiri untuk diri dan anak-anak,” katanya.
Dalam pada itu, Adira tidak pernah meletakkan kemewahan sebagai syarat utama dalam memilih pasangan hidup sebaliknya lelaki bergelar pemimpin.
“Saya tidak memerlukan lelaki yang kaya raya kerana harta boleh dicari bersama. Yang penting, dia mestilah seorang pemimpin yang baik dan boleh menerima latar belakang saya serta keempat-empat anak saya,” katanya.
Sumber: Utusan Online



