Malaysia bernasib baik, bekalan minyak dan gas terjamin – PM Anwar

Malaysia bernasib baik, bekalan minyak dan gas terjamin – PM Anwar

Malaysia berada dalam kedudukan “bertuah” apabila bekalan minyak dan gas negara kekal stabil meskipun pasaran tenaga global terus berdepan ketidaktentuan.

Menerusi laporan Malaysia Gazette, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan jaminan bekalan itu disokong oleh hubungan diplomatik yang kukuh dengan beberapa negara pengeluar utama selain kerjasama strategik bersama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

“Kita bernasib baik, Malaysia antara negara yang terjamin bekalan minyak dan gasnya. Hubungan baik kita dengan Iran, Rusia dan Turkmenistan memberikan kita jaminan bekalan.
“Jadi, dari segi bekalan kita tiada masalah tetapi cabarannya adalah harga yang meningkat di luar kawalan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perjumpaan bersama warga Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Putrajaya, hari ini.

Foto: Bernama

Anwar berkata, walaupun bekalan tenaga negara kekal mencukupi, kerajaan masih berdepan tekanan susulan kenaikan harga minyak dunia yang memberi kesan kepada perbelanjaan subsidi bahan api.

“Perkembangan geopolitik global dan gangguan rantaian bekalan memaksa kita mencari keseimbangan antara melindungi rakyat dan menjaga kedudukan fiskal negara,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa hasil taklimat daripada Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis, Tan Sri Hassan Marican menunjukkan hubungan diplomatik erat dengan negara pengeluar membantu memastikan kestabilan bekalan tenaga negara.

“Dengan Iran, kita antara negara yang awal diberi laluan selepas presidennya sendiri menghubungi dan memaklumkan kepada saya. Dengan Rusia, kita juga ada hubungan baik.
“Begitu juga dengan Turkmenistan dan Uzbekistan, hubungan lama yang kita bina membuahkan jaminan bekalan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan akan terus mengawal impak kenaikan harga supaya tidak membebankan rakyat termasuk mengekalkan harga RON95 serta melaksanakan penyasaran subsidi diesel.

“Kita masih pertahankan RON95. Sebab itu saya lihat rakyat masih mampu tersenyum.
“Kalau harga RON95 naik, mungkin senyuman itu pun akan hilang (ketawa). Jadi kita kekalkan, cuma subsidi diselaraskan daripada 300 kepada 200 melalui BUDI95,” ujarnya.

Sumber: Malaysia Gazette (Muhammad Azizul Osman)

Scroll to Top