Wanita bawa pisau di Festival Rain Rave sudah didakwa, dihantar ke Hospital Bahagia

Wanita bawa pisau di Festival Rain Rave sudah didakwa, dihantar ke Hospital Bahagia

am@hmetri.com.my

Kuala Lumpur: Wanita yang ditahan kerana membawa pisau ketika menghadiri Rain Rave Water Music Festival 2026 Sabtu lalu, sudah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, wanita itu didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.

“Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia bagi pemeriksaan lanjut selepas disyaki mempunyai masalah mental.

“Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Jun depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, wanita itu kini ditempatkan di Penjara Kajang Wanita bagi tujuan tahanan reman.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita ditahan selepas dipercayai memiliki senjata berbahaya ketika menghadiri malam penutup Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, wanita berusia tempatan berusia 28 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selepas pemeriksaan mendapati suspek membawa sebilah pisau.

Sebelum itu, tular video di media sosial memaparkan seorang wanita ditahan selepas didapati membawa pisau di malam penutup Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang di sini.

Wanita itu dipercayai ditahan petugas keselamatan majlis berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top