saufi@mediaprima.com.my
Fenomena masyarakat yang semakin cepat menilai dan menghukum orang lain, khususnya di media sosial, kini menjadi antara isu sosial paling ketara dalam era digital.
Mendepani dunia yang bergerak pantas, setiap tindakan, kata-kata dan kesilapan individu boleh tersebar luas dalam sekelip mata, sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada sokongan hingga kecaman melampau.
Persoalannya, mengapa budaya ini semakin menebal, dan apakah implikasinya terhadap masyarakat?
Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, perubahan landskap komunikasi melalui media sosial memainkan peranan besar dalam membentuk sikap ini.
Katanya, akses tanpa sempadan kepada maklumat menjadikan masyarakat terlalu cepat membuat penilaian tanpa memahami konteks sebenar.
“Apa yang berlaku hari ini ialah masyarakat bukan sahaja menjadi pemerhati, tetapi juga ‘hakim’ tidak rasmi.
“Malangnya, banyak penilaian dibuat secara reaktif dan beremosi, bukan berasaskan fakta.
“Tekanan hidup yang semakin meningkat turut menyumbang kepada fenomena ini,” katanya.
Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan kos sara hidup yang tinggi, ramai individu berdepan tekanan emosi yang tidak diluahkan secara sihat.
“Apabila seseorang merasa tidak berdaya dalam kehidupan sendiri, mereka cenderung melepaskan emosi itu dengan menghukum orang lain di media sosial.
“Ia memberi ilusi kuasa walaupun sebenarnya bersifat sementara,” katanya.
Pada masa sama, budaya ‘ikut arus’ atau ‘herd mentality’ turut memburukkan keadaan.
Ramai pengguna media sosial cenderung mempercayai dan mengulang naratif popular tanpa membuat semakan atau analisis sendiri.
Keadaan ini diperkuatkan lagi dengan algoritma platform yang mengutamakan kandungan sensasi, sekali gus membentuk persepsi kolektif yang belum tentu tepat.
Lebih membimbangkan, kecenderungan ini menghakis empati apabila individu yang menjadi sasaran dilihat hanya sebagai watak dalam isu tular, bukan manusia sebenar dengan emosi dan kehidupan.
Mengulas daripada sudut psikologi, Muhammad Muhsin menjelaskan bahawa masyarakat kini berada dalam era yang boleh dianggap sebagai ‘Digital Panopticon’, iaitu keadaan di mana semua orang saling memerhati dan diperhati.
Katanya, setiap tindakan berpotensi menjadi bahan penilaian umum.
“Kita sedang berdepan krisis kepercayaan, apabila masyarakat melihat ketidakselarasan antara kata dan perbuatan, terutama dalam kalangan individu berpengaruh, mereka mula mencipta standard keadilan sendiri yang kadangkala melampau,” katanya.
Muhammad Muhsin berkata, keinginan terhadap keadilan sosial tidak seharusnya bertukar menjadi ‘pembunuhan karakter’.
Beliau berkata, tuntutan akauntabiliti yang tinggi perlu disertai kematangan emosi dan kebijaksanaan dalam menilai sesuatu isu.
“Tanpa keseimbangan ini, ruang digital boleh bertukar menjadi medan penghukuman terbuka yang memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental individu yang terlibat.
“Sehubungan itu, saya menekankan kepentingan membina ‘imuniti digital’ dalam kalangan masyarakat.
“Antaranya termasuk membiasakan diri untuk menjarakkan respons sebelum memberi reaksi, menyemak kesahihan maklumat melalui pelbagai sumber, serta mengamalkan empati dalam setiap penilaian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




