Gadis ditikam 61 kali: 'Rehatlah Fisya, semua memori aku simpan dalam hati' – Rakan baik

Gadis ditikam 61 kali: 'Rehatlah Fisya, semua memori aku simpan dalam hati' – Rakan baik

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: ‘Rehatla Fisya, semua memori kita bersama akan aku simpan kemas dalam hati.”

Demikian luahan rakan baik Allahyarham Nurfisya Zulkifly, 19, penuntut kolej yang ditemui mati dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, Jumaat lalu.

Wanita yang dikenali sebagai MissCandy menerusi TikTok itu meluahkan rasa sedih dan rindu selepas kehilangan mengejut rakan baiknya itu.

“Saya kawan baik arwah, kami rapat sangat, sakit bila kita hilang orang yang paling kita sayang, orang yang ada dengan kita sentiasa sama ada susah dan senang.

“Dulu setiap masalah kita kongsi , sekarang aku kena belajar hadap benda ini seorang diri. Terima kasih sebab pernah jadi rumah paling tenang untuk aku tumpang.

“Kalau rindu ini boleh jadi jambatan, sudah lama aku pergi jumpa kau, tapi aku tahu kau sudah bahagia di tempat yang tidak ada air mata,” katanya menerusi TikTok.

Pada masa sama, beliau turut menyifatkan Allahyarham bukan sahaja sebagai kawan sebaliknya hubungan mereka seperti keluarga.

“Aku doakan kau tenang di sana, nanti giliran aku sampai, jangan lupa tunggu aku dekat pintu syurga.

“Sahabat, kau bukan sekadar kawan, kau keluarga yang aku pilih sendiri, pemergian kau mengajar aku tidak semua yang kita sayang akan kekal di sisi.

“Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, dia sahabat terbaik yang pernah kau kirimkan untukku, pertemukanlah kami semula di Jannatul Firdaus,” katanya.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam Jumaat, mayat seorang gadis yang ditemui di Kampung Padang Simah, Ketereh, dengan mempunyai 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun pihaknya sudah mengenal pasti mangsa berdasarkan semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau berkata, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top