INISIATIF Madani Mart muncul sebagai satu pendekatan baharu dalam landskap peruncitan negara dengan membawa model berbeza daripada pendekatan tradisional yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian baru-baru ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, Madani Mart bukanlah inisiatif yang diterajui oleh kementerian, sebaliknya ia merupakan hasil kerjasama strategik antara tiga komponen utama iaitu kerajaan, swasta dan elemen sosial.
Di tengah-tengah model bisnes ini ialah Yayasan Madani, sebuah entiti tidak berasaskan keuntungan yang bertindak sebagai pemacu utama.
Peranan yayasan ini bukan sekadar simbolik tetapi berfungsi sebagai inkubator yang menyediakan satu ekosistem lengkap untuk membangunkan usahawan runcit.
Fuziah berkata, berbeza dengan pendekatan terdahulu yang melibatkan pelaksanaan oleh kerajaan merentasi pelbagai skop tanggungjawab, Yayasan Madani mempunyai pasukan khusus yang memberi fokus sepenuhnya kepada pembangunan dan pengukuhan Madani Mart secara berterusan.
“Struktur ini memberi kelebihan dari segi kecekapan dan kelincahan pelaksanaan,” katanya.
Ujar beliau lagi, sebagai sebuah organisasi yang tidak berorientasikan keuntungan, Yayasan Madani berfungsi memastikan keseluruhan ekosistem berjalan dengan efisien dan memberi manfaat maksimum kepada semua pihak berkepentingan.

Berteraskan slogan ‘Kedai Runcit Harga Rahmah’, satu lagi keunikan Madani Mart adalah komitmennya terhadap pembangunan IKS tempatan. Foto: Bernama
Menurut Fuziah, cabaran utama kepada kedai runcit tradisional ialah ketidakupayaan untuk membeli stok secara pukal.
“Yayasan Madani menguruskan dan melantik pembekal dan pengedar yang membeli terus daripada pemilik jenama dalam kuantiti besar.
“Hasilnya, harga yang diperoleh adalah jauh lebih rendah tanpa mengenakan syarat ketat kepada pengusaha kedai. Ini membolehkan pengusaha Madani Mart menikmati kelebihan harga pukal walaupun hanya mengendalikan satu outlet,” katanya.
Tambah Fuziah, model tersebut bukan sahaja inovatif malah tidak pernah dilaksanakan sebelum ini di Malaysia.
Katanya, ia menggabungkan kelebihan skala besar dengan fleksibiliti perniagaan kecil, satu kombinasi yang memberi kelebihan daya saing yang signifikan.
“Untuk Madani Mart kerajaan tidak mengeluarkan modal tetapi kerajaan mendapat keuntungan dalam bentuk sosial, membantu rakyat mendapatkan barangan berkualiti pada harga mampu milik,” katanya.
Perkasa usahawan
Pada masa sama, Madani Mart juga bukan sekadar jenama kedai runcit tetapi sebuah platform pembangunan usahawan.
Pengusaha yang menyertai rangkaian ini mendapat akses kepada pelbagai kemudahan seperti sistem point-of-sale berpusat, pemantauan harga, analisis jualan, latihan pemasaran serta sokongan operasi.
Dalam pada itu, Yayasan Madani turut menyediakan pemantauan berterusan bagi memastikan prestasi setiap outlet sentiasa berada pada tahap optimum.
Menurut Fuziah, walaupun fokus utama ialah untuk menyediakan harga rahmah, Madani Mart tidak mengabaikan aspek lain yang penting kepada pengguna.
“Rakyat hari ini bukan sekadar mencari harga rendah, tetapi juga mahukan kualiti produk, perkhidmatan yang baik dan kemudahan akses.
“Madani Mart cuba memenuhi semua keperluan ini secara serentak. Dengan lokasi yang dirancang dekat dengan komuniti, pengguna dapat menikmati kemudahan membeli-belah berhampiran rumah,” katanya.
Tambahan pula katanya, integrasi dengan inisiatif seperti jualan rahmah dan kemudahan pembayaran tertentu membolehkan rakyat memaksimumkan kuasa beli mereka.
Berteraskan slogan ‘Kedai Runcit Harga Rahmah’, satu lagi keunikan Madani Mart adalah komitmennya terhadap pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan.

Fuziah (kiri) ketika temubual eksklusif bersama Sinar Harian baru-baru ini. Foto: SINAR HARIAN – Asril Aswandi Shukor
Pengusaha diberi fleksibiliti untuk mendapatkan sehingga 50 peratus bekalan daripada sumber luar termasuk pengeluar tempatan, ini sekali gus membuka ruang kepada produk IKS untuk menembusi pasaran runcit dengan lebih mudah.
Madani Mart menyediakan kelonggaran kepada IKS dan dalam sesetengah kes, yuran tersebut boleh diketepikan bagi membantu pengusaha kecil berkembang.
Malah, jika terdapat bayaran tertentu daripada jenama besar, manfaat itu akan disalurkan semula kepada pemilik outlet.
Pendekatan ini mencerminkan elemen sosial dalam model Madani Mart di mana ia bukan sekadar membantu pengguna tetapi turut memperkasa rantaian nilai tempatan.
Sementara itu, untuk memastikan keseimbangan dalam ekosistem, Yayasan Madani menetapkan had maksimum pemilikan tidak lebih 10 outlet setiap pengusaha bagi mengelakkan berlakunya monopoli dan memastikan lebih ramai usahawan mendapat peluang.
Selain itu, pematuhan terhadap standard perkhidmatan, harga dan operasi turut dipantau secara ketat.
Sekiranya terdapat pelanggaran, lesen penggunaan jenama boleh ditarik balik.
Catat angka bagus, pulang modal
Jelas Fuziah, prestasi awal Madani Mart menunjukkan petanda positif kerana jualan harian dan bulanan mencatat angka yang memberangsangkan malah melepasi titik pulang modal dalam masa singkat.
Katanya, ia memberikan keyakinan bahawa model ini bukan sahaja berdaya maju tetapi juga berpotensi untuk diperluaskan secara strategik.
“Namun, pengembangan dilakukan secara terkawal dengan mengambil kira faktor infrastruktur seperti pusat pengedaran. Pendekatan ini memastikan setiap outlet dapat disokong dengan bekalan yang konsisten dan efisien.
Madani Mart bukan sekadar satu lagi inisiatif runcit, tetapi satu model perniagaan hibrid yang menggabungkan kepentingan sosial dan komersial secara seimbang.

Madani Mart membantu rakyat mendapatkan barangan berkualiti pada harga mampu milik. Foto: Bernama
“Ia memberi manfaat menyeluruh, rakyat menikmati harga berpatutan, usahawan mendapat sokongan untuk berkembang dan IKS diberi peluang untuk menembusi pasaran,” jelas beliau.
Dengan struktur yang tidak membebankan pihak kerajaan serta pendekatan ekosistem yang inklusif, Madani Mart berpotensi menjadi penanda aras baharu dalam sektor peruncitan negara.
Jika dilaksanakan dengan konsisten dan strategik, ia mampu membentuk semula landskap runcit Malaysia ke arah yang lebih mampan dan adil untuk semua.



