Misi Global Sumud Flotilla dikepung dron dan helikopter

Misi Global Sumud Flotilla dikepung dron dan helikopter

Istanbul: Global Sumud Flotilla pada Isnin malam memaklumkan tentera Israel cuba memintas kapal bantuan kemanusiaan yang menuju ke Gaza di perairan Greece, dengan memetik peningkatan pengawasan dan intimidasi di laut, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu menyatakan bahawa armada Freedom Flotilla Coalition yang kini belayar di perairan Greece untuk menyertai misi Global Sumud ke Semenanjung Gaza berada di bawah “pengawasan dan intimidasi ketenteraan secara aktif”.

Flotila itu turut menggariskan kronologi mengenai “peningkatan taktikal”.

Pada jam 19.27 waktu Palestin, empat kapal melaporkan sebuah helikopter tentera berlegar di ruang udara sekitar mereka, menurut kenyataan itu.

Pada jam 21.53, peserta melaporkan tiga dron berada di ruang udara serta sebuah kapal tidak dikenali di kejauhan yang sengaja mematikan lampu navigasi.

Kumpulan itu turut memetik data penjejakan maritim yang menunjukkan sebuah pesawat Lockheed Martin milik Amerika Syarikat (AS) terbang tepat di atas armada itu sejurus sebelum perkembangan terkini.

Menurut kenyataan itu, peserta kemudian melaporkan melihat bot tidak dikenali dan lampu putih menghampiri flotila dari arah belakang.

Kumpulan itu menyatakan bahawa perkembangan berkenaan menunjukkan cubaan memintas yang hampir berlaku.

Israel mengenakan sekatan ketat ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007, menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.

Ia melancarkan serangan kejam selama dua tahun ke atas Gaza pada Oktober 2023, mengorbankan lebih 72,000 orang, mencederakan lebih 172,000 yang lain dan menyebabkan kemusnahan besar di wilayah yang terkepung itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top