Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan beliau tidak menyembunyikan sebarang perkara berhubung siasatan kes pelaburan bernilai RM1.1 bilion.
Tiada apa ingin disembunyikan

Memetik laporan Harian Metro, Ahli Parlimen Pandan itu bagaimanapun memaklumkan beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai siasatan berkenaan buat masa ini.
“Saya tak boleh nak komen sebenarnya tapi soal siasat, bagi siapa yang selalu kena soal siasat, selalunya akan melalui prosesnya. Jadi perkara itu selalunya mengikut ‘timeline.’
“(Saya) ‘nothing to hide’ (tiada apa-apa hendak disembunyikan),” katanya ketika ditemui di pekarangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdahulu, Rafizi dilaporkan tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 9.30 pagi bagi menyambung proses rakaman keterangan untuk kali kedua berhubung siasatan tersebut.
Beliau hadir menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Volvo XC60 berwarna gelap, dengan berpakaian kemeja putih dan sut hitam.
Mengulas pengalaman melalui proses rakaman keterangan semalam, Rafizi berkata beliau menerima layanan yang baik sepanjang siasatan berlangsung.

“Layanan semua tu tak ada masalah, memang prosesnya begitu.
“Lagipun ia mudah kerana siasatan ini setakat inilah tidak berkaitan dengan apa-apa wang, apa-apa rasuah, ia soal prosedur. Jadi yang itu saya ingat orang yang berada di pihak sayalah. Maksudnya perkara itu rekod semua ada…rekod kerajaan,” kogsinya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Mohd Hafaz Nazar, sebelum ini dilaporkan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Rakaman percakapan Rafizi dibuat selepas pembantunya, Chai Jin Shern atau James Chai, selesai memberi keterangan selama tiga hari berturut-turut pada minggu lalu.
Menurut Mohd Hafaz, sebanyak 22 individu sudah dirakam keterangan, termasuk menteri serta pegawai kanan beberapa agensi kerajaan sejak siasatan bermula pada 13 Februari 2025.
Artikel lain: Pengasas PKR dakwa Rafizi Ramli menteri paling gagal -“Formula beliau buat hanya sembang sahaja”
SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari susulan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan berat sebelah sehingga memberi implikasi kewangan kepada kerajaan.
Siasatan itu turut meneliti kemungkinan berlakunya konflik kepentingan melibatkan beberapa individu yang didakwa menerima jawatan dalam syarikat asing selepas meninggalkan perkhidmatan di sebuah kementerian.
Sumber: Berita Harian (Mohd Iskandar Ibrahim)




