hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket penipuan dalam talian jenis Macau Scam yang berpusat di ibu negara tetapi menyasarkan mangsa dari negara India.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tangkapan itu dibuat susulan serbuan oleh Bahagian Risikan dan Operasi ke atas sebuah premis di Kuala Lumpur pada jam 7.00 malam, 23 April lalu.
“Serbuan berkenaan berjaya melumpuhkan operasi sindiket dengan penahanan 22 individu yang terdiri daripada pelbagai warganegara .
“22 individu itu terdiri daripada dua lelaki warganegara Taiwan, 12 lelaki dan seorang perempuan warganegara Pakistan, empat lelaki dan dua perempuan warganegara India serta (1) lelaki Cina warga tempatan. Sindiket ini didapati menyasarkan mangsa dari negara India,” katanya pada sidang media di Menara KPJ di sini, hari ini.
Mengulas lanjut berhubung taktik yang digunakan, beliau mendedahkan bahawa sindiket ini bergerak dengan cara menakut-nakutkan mangsa menerusi panggilan telefon .
“Modus operandi sindiket adalah dengan menyamar sebagai pihak berkuasa termasuk polis India dan mendakwa mangsa terbabit dalam kes jenayah berkaitan penyebaran kandungan berunsur hasutan yang berkaitan dengan kerajaan India.
“Mangsa kemudiannya diperdaya untuk membuat bayaran kononnya bagi tujuan ‘siasatan’ pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, sindiket menggunakan skrip khas bagi memastikan mangsa terpedaya sehingga mengalami kerugian .
“Hasil serbuan berkenaan, polis berjaya merampas pelbagai peralatan operasi sindiket dengan nilai anggaran sebanyak RM25,000.
“Antara barang yang dirampas termasuk 49 unit telefon pintar, tiga buah komputer riba, satu iPad, satu peranti router WiFi, sebentuk kunci rumah serta 12 salinan skrip penipuan.
“Suspek warga tempatan sudah dibebaskan dengan jaminan polis manakala semua 21 suspek warganegara asing ditahan semula di bawah kesalahan Akta Imigresen untuk siasatan lanjut sehingga 10 Mei ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




