ISKANDAR PUTERI: Hospital Pasir Gudang (HPG) sedang beroperasi dengan kekurangan 59 peratus tenaga kerja melibatkan sebanyak 1,342 perjawatan daripada keseluruhan 2,271 perjawatan yang diluluskan di hospital berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, daripada 304 katil yang tersedia, hanya 157 katil sahaja boleh digunakan melibatkan sembilan wad yang aktif berbanding 14 wad keseluruhan.
“Kekurangan perjawatan ini menjadi kekangan utama untuk pengoperasian penuh hospital berkenaan, serta menyebabkan tidak semua fasiliti di hospital dapat diguna sepenuhnya walaupun telah mula beroperasi dan menerima pesakit awam.
“Walaupun belum mencapai tahap operasi maksimum, perkhidmatan kesihatan di HP berjalan lancar dan pesakit sudah menerima rawatan seperti biasa, sekaligus mengurangkan beban terhadap Hospital Sultanah Aminah dan juga Hospital Sultan Ismail,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bilik Petugas Media sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini HPG susulan titah keprihatinan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menggesa pengoperasian penuh HPG dilaksana dengan segera.
Pada masa sama, Tian Soon turut memberitahu pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan Kementerian Kewangan untuk mengurangkan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion yang turut membabitkan sektor kesihatan awam di negara ini.




