Beijing: Keberanian seorang pemuda menyelamatkan nyawa seorang pemandu yang terperangkap apabila trak dinaikinya terbakar di dalam terowong wajar dijadikan teladan.
Zhang Jian, 24, yang berasal dari wilayah Shandong, China, sedang dalam perjalanan pulang dari wilayah Shanxi apabila bertindak meluru ke kawasan kejadian.
Memetik laporan South China Morning Post, Zhang melihat sebuah trak terbakar dengan dua individu berada di sisi kenderaan ketika melalui Terowong Baotashan, dengan seorang daripadanya cedera parah manakala seorang lagi melambai meminta bantuan.
Tanpa membuang masa, Zhang bersama penumpang perkhidmatan e-hailingnya memberhentikan kenderaan di tengah kepulan asap tebal sebelum mengangkat mangsa yang cedera ke dalam kereta.
Mereka mendapati kejadian berpunca daripada perlanggaran dari belakang membabitkan dua kenderaan dan kedua-dua mangsa adalah pemandu.
Disebabkan mangsa parah di bahagian kaki, dia tidak dapat dimasukkan ke dalam kereta sepenuhnya menyebabkan Zhang terpaksa memandu dengan pintu hadapan terbuka selama 10 minit, sekali gus menyebabkan asap tebal memenuhi ruang kereta itu.
Bagi mengurangkan kesan asap, mereka mencurah air minuman ke atas tubuh masing-masing.
Namun, Zhang berdepan cabaran lebih besar apabila menyedari terowong itu sepanjang 10 kilometer.
Keadaan menjadi semakin cemas apabila Zhang mula lemah dan hampir pengsan dengan jarak perjalanan berbaki lima kilometer di dalam terowong yang gelap itu.
Dalam keadaan lemah, dia sempat menghubungi ibunya.
“Saya terperangkap dalam Terowong Baotashan. Jika saya tidak menelefon ibu dalam masa dua jam, saya mungkin tidak akan keluar dari terowong ini,” katanya kepada ibunya.
Zhang dan dua lagi penumpang saling memberi semangat sepanjang perjalanan sebelum mereka akhirnya berjaya keluar dengan selamat.
Ambulans dan polis trafik sudah menunggu di pintu keluar, namun Zhang menolak rawatan dan terus menghantar penumpangnya ke destinasi di wilayah Hebei sebelum pulang ke Shandong.
Atas keberanian itu, pihak berkuasa tempatan menganugerahkan Zhang gelaran ‘Ikon Tindakan Berani dan Berakhlak Mulia’ dan menerima ganjaran wang tunai 10,000 yuan (kira-kira RM7,000) pada 20 April lalu manakala keluarga mangsa turut menzahirkan penghargaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



