Istanbul: Emiriah Arab Bersatu (UAE) memaklumkan bahawa sistem pertahanan udaranya berjaya memintas 15 peluru berpandu dan empat dron dari Iran pada Isnin, serangan pertama seumpamanya sejak gencatan senjata antara Tehran dan Washington berkuat kuasa pada 8 April lepas, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan memaklumkan pemintasan itu melibatkan 12 peluru berpandu balistik dan tiga peluru berpandu krus, selain empat kenderaan udara tanpa pemandu. Serangan itu mengakibatkan tiga individu cedera.
Kementerian itu menambah bahawa sejak permulaan serangan Iran pada 28 Februari lepas, sistem pertahanan udara negara itu telah memintas sejumlah 578 peluru berpandu dan 2,260 dron.
Menurut kementerian itu, serangan berkenaan telah mengakibatkan 13 kematian dan 227 kecederaan.
Awal pagi Isnin, satu kebakaran besar berlaku di Zon Industri Minyak Fujairah, hab tenaga utama di pantai timur UAE, selepas ia menjadi sasaran dron yang dilancarkan dari Iran.
Pihak berkuasa di Fujairah memaklumkan tiga warga India cedera dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan.
Ketegangan serantau meningkat selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lepas, sekali gus mencetuskan tindak balas Tehran terhadap Israel serta sekutu AS di Teluk, selain penutupan Selat Hormuz.
Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian berkekalan.
Tempoh gencatan senjata itu kemudiannya dilanjutkan oleh Presiden AS Donald Trump tanpa tarikh akhir yang ditetapkan.
Sejak 13 April, AS telah menguatkuasakan sekatan tentera laut yang menyasarkan trafik maritim Iran di Selat Hormuz.
© New Straits Times Press (M) Bhd




