Perubahan modus operandi rasuah beri cabaran kepada SPRM

Perubahan modus operandi rasuah beri cabaran kepada SPRM

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Bangi: Evolusi modus operandi rasuah yang semakin canggih termasuk penggunaan teknologi digital, transaksi rentas sempadan serta jaringan tersusun menjadikan cabaran membanteras jenayah itu semakin kompleks ketika ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, perubahan modus operandi itu menuntut warga SPRM meningkatkan tahap profesionalisme, ketelusan dan integriti dalam menjalankan tugas.

Menurutnya, SPRM turut berdepan cabaran dari segi persepsi serta kepercayaan awam dalam era maklumat tanpa sempadan apabila setiap tindakan penguatkuasaan sentiasa menjadi perhatian masyarakat dalam dan luar negara.

“Evolusi modus operandi rasuah kini semakin canggih, membabitkan penggunaan teknologi digital, transaksi rentas sempadan serta jaringan yang lebih tersusun.

“Adalah penting untuk kita terus memperkukuhkan daya tahan organisasi, meningkatkan kompetensi warga kerja serta mengamalkan budaya kerja berintegriti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) SPRM 2025, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Indera Junipah Wandi dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman.

Seramai 233 warga SPRM menerima APC tahun ini, masing-masing 146 penerima dari ibu pejabat dan 87 lagi dari SPRM negeri.

Selain itu, 33 Anugerah Khas serta dua Anugerah Emas turut disampaikan menerusi Anugerah Ketua Pesuruhjaya (AKPJ) daripada keseluruhan 67 pencalonan yang diterima.

Pada majlis sama, Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM menerima Anugerah Khas AKPJ bagi projek Pengiktirafan Antarabangsa Bagi Komunikasi Strategik (ASEAN Awards dan RAGAN).

Sementara itu, Anugerah Emas AKPJ diberikan kepada Bahagian Siasatan SPRM atas kejayaan membongkar Kartel Perolehan Angkatan Tentera Malaysia menerusi Ops Parasit dan Ops Star, manakala Bahagian Perundangan dan Pendakwaan diiktiraf melalui kejayaan kes berprofil tinggi Public Prosecutor vs Mohd Najib bin Abdul Razak (IMDB).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top