harisfadli@hmetro.com.my
Sepang: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang memperluaskan pengambilan Pengawal Sempadan Malaysia (MBG) dalam kalangan veteran tentera tahun depan bergantung prestasi kelompok pertama yang baru diserapkan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya yakin MBG yang baharu diserapkan ke dalam perkhidmatan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) akan memberi nilai tambah kepada agensi itu.
Menurutnya, pihak Kementerian kini sedang dalam proses memenuhi kuota 200 anggota MBG yang sudah diperuntukkan bagi AKPS buat tahun ini.
“Bajet untuk tahun ini AKPS dibenarkan untuk rekrut sehingga 200 MBG. Mereka sudah pun selesaikan fasa pertama 50 orang, dan mereka akan ditempatkan di pintu masuk termasuk di KLIA dan Pelabuhan Klang.
“Mereka ini mempunyai kemahiran berbeza-beza. Komando pun ada jurulatih kawad pun ada jadi kita akan tengok dahulu prestasi mereka, saya tak rasa akan ada masalah. Jika memberi nilai tambah kita akan terus sokong,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Mengulas mengenai keperluan senjata api bagi pegawai dan anggota AKPS, Saifuddin Nasution berkata, perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Menurutnya, pihak kementerian turut meneliti cadangan penggunaan pistol pegun bagi AKPS berikutan lebih banyak kerenah di pintu masuk membabitkan pelawat asing yang tidak memerlukan senjata api.
“Fasiliti persenjataan ini itu hala tuju kita ke hadapan dan akan diuruskan oleh Datuk KSU dalam masa terdekat. Ada juga pandangan kita mulakan dengan taser gun dahulu.
“Itu semua kita pernah bincangkan dan kita utamakan. Perkara paling penting AKPS menuju ke arah penggunaan senjata api termasuk komander AKPS di kawasan berisiko tinggi,” katanya.
Menurutnya, pegawai dan anggota AKPS sedia ada terdiri daripada agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) justeru mereka sedar risiko tugas dan sudah disiapkan dengan latihan sewajarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




