Penerbit dan pelakon terkenal, Sheila Rusly tampil menjawab persoalan segelintir netizen yang bertanya sekiranya rumah tangganya pernah diuji dengan kehadiran ‘orang ketiga (penyondol)’ ketika suaminya, Jinggo, mula menjadi pengarah.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Sheila mendedahkan dia pernah menitipkan pesanan kepada Jinggo atau nama sebenarnya, Azman Yahya untuk bersikap terbuka dan jujur sekiranya dia menemui wanita lebih baik daripadanya.
“Ada yang tanya, zaman Tok Sidang (panggilan suaminya), rancak mengarah dulu tak ada penyondol ke? Saya pernah berpesan, tahun 2003 drama arahan pertamanya cerita Enot.
“Kalau dia jumpa perempuan yang lebih baik daripada saya, teruskan. Beritahu saja saya boleh angkat kaki, tapi dia (Tok Sidang) jangan patah balik,” katanya.
Dalam masa sama, Sheila meluahkan rasa syukur apabila perkahwinannya bersama Jinggo yang telah terbina selama 30 tahub itu masih berkekalan hingga kini.
“Sampai sekarang, Alhamdulillah masih ada dengan saya maknanya tak jumpa yang lebih baik la tu,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut memuji Sheila yang pandai menjaga rumah tangganya itu.




