Aaren Kang, pemuda Tionghoa martabatkan wayang kulit hingga ke Washington

Aaren Kang, pemuda Tionghoa martabatkan wayang kulit hingga ke Washington

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kemodenan dan perkembangan muzik semasa tidak pernah melunturkan semangat pemuda berketurunan Tionghoa ini untuk terus memartabatkan seni wayang kulit.

Buktinya, Kang Xiau Ren, 29, atau mesra disapa Aaren Kang bukan hanya masih aktif membuat persembahan wayang kulit malah turut berkongsi ilmu dengan menjadi pensyarah sambilan di Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) dekat Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), di sini.

Berkongsi kisahnya, Aaren yang berasal dari Kok Lanas, Kelantan berkata, sudah empat tahun dia menjadi tenaga pengajar subjek wayang kulit di ASWARA dan berbesar hati apabila diberi kepercayaan oleh pihak pengurusan kampus selepas tamat pengajian.

Katanya, peluang itu amat berharga kerana memberi kesempatan berkongsi ilmu kepada anak didiknya yang terdiri dalam kalangan Gen Z dan boleh bersatu kerana wayang kulit walaupun datang daripada pelbagai latar belakang kaum juga agama.

“Saya dapat pendedahan mengenai wayang kulit sejak berumur 10 tahun lagi kerana ayah (Kang Boon Ann atau Che Ann, 58) adalah pembuat patung (wayang kulit) dan waktu kecil, itulah hiburan yang kami ada terutama jika pergi kenduri.

“Daripada situ, ayah tubuhkan pasukan dan mulanya ada pemuzik kemudian tinggal ayah seorang jadi dia ajak emak (Eh Tian Eh Awang atau Kak Nab, 52), kakak (Kang Siew Lie atau Lily, 32) dan saya untuk bermain bagi terus menghidupkan seni wayang kulit.

“Ayah jadi tok dalang, emak pemain gong, kakak bermain canang dan saya pula bermain geduk.

“Saya belajar juga bermain serunai dan keluarga saya kemudiannya menubuhkan persatuan wayang kulit diberi nama Sri Cindayu kerana terdiri daripada Cina, India dan Melayu,” katanya ketika ditemui Harian Metro di ASWARA, dekat sini.

Bercerita lanjut, Aaren berkata, persatuan berkenaan masih aktif malah bukan hanya menerima undangan membuat persembahan di dalam kampung tetapi juga bagi acara rasmi anjuran agensi kerajaan selain menganjurkan bengkel kemahiran.

Menurut Aaren, buat masa ini, rata-rata pemain wayang kulit khususnya di Kelantan adalah anak Melayu daripada pelbagai generasi.

Katanya, ramai juga anak muda yang namun dia berbangga kerana menjadi satu-satunya tok dalang wayang kulit bukan Melayu dalam kalangan generasi baharu di negeri kelahirannya.

“Saya fasih berbahasa Mandarin dan mengaku saya orang Cina cuma bila tengok saya pandai main wayang kulit, ada yang tak percaya sampai kena tunjukkan kad pengenalan untuk buktikan saya bukan Melayu.

“Ia perkara biasa tapi saya terus main wayang kulit kerana seronok memandangkan ada elemen muzik yang boleh jadi terapi seterusnya bantu menghilangkan tekanan.

“Waktu jadi tok dalang pula, lain keseronokannya dan puas bila buat lawak hingga penonton gelak,” katanya.

Kata Aaren, pengalaman paling menyeronokkan dan indah sepanjang bermain wayang kulit adalah bila dapat membuat persembahan di luar negara.

“Paling jauh, saya pernah buat persembahan selama dua minggu di Washington, Amerika Syarikat (AS).

“Waktu itu, nampak orang sana tertarik hingga badan mereka turut bergoyang bila dengar bunyi serunai,” katanya yang juga pernah membuat persembahan wayang kulit di Kemboja dan Thailand.

Berkongsi pengalaman sebagai pensyarah pula, Aaren mengakui seronok melihat perkembangan penuntut daripada awal sehingga akhir kelas dalam satu tempoh semester.

“Mereka yang datang tiada asas namun dikehendaki mengambil subjek teras, salah satunya wayang kulit.

“Tak mudah tapi selepas tujuh minggu, nampak peningkatan mereka dan itulah kepuasan saya sebagai pensyarah.

“Perancangan akan datang saya adalah nak sambung pengajian wayang kulit dalam peringkat sarjana kemudian cipta nafas baru, mungkin dengan sentuhan kontemporari supaya dapat tarik anak muda,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top