Paris: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjemput Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI) ke ibu pejabatnya untuk mengadakan perbincangan berhubung penyertaan negara itu pada Piala Dunia 2026, menurut sumber kepada AFP.
Presiden FFIRI, Mehdi Taj berkata, penyertaan Iran bergantung kepada jaminan yang diberikan oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino.
“Kami yakin pasukan Iran mesti beraksi di Piala Dunia,” katanya kepada media tempatan ketika menghadiri satu perhimpunan di Tehran.
“Namun, penyertaan kami bergantung kepada jaminan konkrit dalam pertemuan dengan Infantino,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak tertentu tidak berhak menghina angkatan bersenjata Iran, khususnya Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC), selain menyeru agar kepimpinan negara itu dihormati.
“Jika jaminan diberikan, kami akan ke Piala Dunia. Namun jika berlaku penghinaan, pasukan boleh pulang awal,” katanya.
Penyertaan Iran dalam kejohanan yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai itu menjadi tanda tanya susulan konflik di Asia Barat sejak Februari lalu.
Sumber sama memaklumkan FIFA meminta FFIRI hadir ke ibu pejabatnya di Zurich sebelum 20 Mei bagi persiapan menghadapi kejohanan itu.
Sebelum ini, Infantino menegaskan Iran tetap akan beraksi di AS seperti dijadualkan.
“Iran akan menyertai Piala Dunia 2026 dan akan bermain di Amerika Syarikat,” katanya ketika berucap di Kongres FIFA di Vancouver.
Delegasi Iran menjadi satu-satunya yang tidak hadir dalam kongres membabitkan 211 anggota itu susulan isu dengan pegawai sempadan Kanada.
Media Iran melaporkan Taj bersama dua pegawai lain pulang ke tanah air selepas didakwa dihina oleh pegawai imigresen Kanada.
Kanada yang mengklasifikasikan IRGC sebagai organisasi pengganas pada 2024 menyatakan individu yang mempunyai kaitan dengan pasukan itu tidak dibenarkan memasuki negara berkenaan.
Sekembalinya ke Iran, Taj memaklumkan beliau mahu mengadakan pertemuan dengan FIFA bagi membincangkan beberapa isu.
Iran dijadualkan berpangkalan di Tucson, Arizona sepanjang kejohanan dan diundi dalam Kumpulan G bersama New Zealand, Belgium dan Mesir.
Mereka akan membuka kempen menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




